Home SemasaGlobal Denmark derma semua artileri CAESAR kepada Ukraine

Denmark derma semua artileri CAESAR kepada Ukraine

by M.Daim

COPENHAGEN, 21 Jan – Kerajaan Denmark telah memutuskan untuk menderma kesemua 19 buah unit artileri gerak kendiri (SPH) CAESAR kepada Ukraine

Kementerian Pertahanan Denmark dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihak kerajaan dan parlimen negara itu mengadakan perbincangan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Denmark yang baharu dilantik pada Disember lalu, Jakob Ellemann-Jensen menyatakan beliau berpuas hati dengan keputusan perbincangan itu.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa berhubung dengan rakan sekerja dari Ukraine berhubung pemberian SPH kepada Kyiv.

“Denmark telah aktif membantu Ukraine semenjak awal peperangan berlaku. Dan kita akan terus berbuat demikian,

“Pada masa yang sama, kita (Denmark) perlu mengimbangi di antara membantu Ukraine dan memperkuatkan pertahanan negara,

“Ini bagi memastikan keselamatan Denmark dan tanggungjawab dengan NATO dapat dipenuhi,” kata Jakob dalam satu kenyataan.

Denmark telah memilih untuk memperolehi 19 CAESAR 8×8 dari Perancis pada tahun 2017. Sehingga kini, negara Scandanavia itu masih belum menerima kesemua aset yang ditempah. Pun begitu, Copenhagen telah memutuskan untuk menderma kesemua 19 CAESAR 8×8 terbabit kepada Ukraine.

Pakej derma ini turut merangkumi latihan pengendalian sistem artileri CAESAR kepada anggota tentera Ukraine.

Dalam pada itu, Denmark telah memutuskan untuk melakukan perolehan baharu dalam masa terdekat.

CAESAR pada ketika ini satu-satunya sistem artileri beroda yang digunakan dalam konflik Ukraine-Rusia yang tercetus semenjak Februari tahun lalu. Sehingga Oktober 2022, Ukraine telah menerima 12 unit CAESAR 6×6 dari kerajaan Perancis. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply