Home Semasa RM1 bilion diperuntukan naik taraf prasarana, keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia

RM1 bilion diperuntukan naik taraf prasarana, keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia

by Nurulhuda

KUCHING, 20 Jan – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukkan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja naik taraf prasarana dan meningkatkan keselamatan di sempadan Sabah serta Sarawak dengan Indonesia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu melibatkan tambahan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), pos kawalan polis dan tentera.

Selain itu, beliau berkata, prasarana jalan raya juga dalam usaha meningkatkan capaian antara 2 buah negara susulan pembukaan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan.

“Kita putuskan peruntukan tambahan CIQ, keselamatan sempadan dan meningkatkan keupayaan kedua-duanya,

“Kita tidak mahu dilihat terlalu daif. Kementerian Kewangan telah memberi kelulusan awal sebanyak RM1 bilion untuk memulakan kerja dalam tempoh segera,” katanya pada sidang media selepas Pasca Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, di Kuching, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Primier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Kuching dan beberapa menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Dalam mesyuarat itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaikkan pemberian khas mengikut Perkata 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sarawak kepada RM300 juta.

Beliau menjelaskan, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Jelasnya, prinsip itu diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia lebih murdur ketika itu.

“Sebelum ini, Sarawak hanya diberi RM16juta, tentunya saya selaku Menteri Kewangan berpendapat ini adalah satu jumlah yang tidak munasabah,

“Tetapi untuk beri terlalu tinggi pun tidak mampu kerana dalam 112D menyebut pembayaran itu tertakluk kepada kewangan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply