Home Pertahanan dan Keselamatan Lagi 107 PATI Indonesia diusir pulang

Lagi 107 PATI Indonesia diusir pulang

by Nurulhuda

TAWAU, 20 Jan – Seramai 107 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal dengan menggunakan jalan laut dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua mereka dihantar pulang dengan menggunakan pengangkutan laut MID EAST EXPRESS NO.1.

Beliau berkata, program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Tawau dan Sandakan sahaja dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

“Seramai 96 orang tahanan lelaki dan 11 wanita yang berumur dalam lingkungan 14 tahun sehingga 63 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sharifah Sitti berkata, PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari Malaysia,

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di negeri Sabah, terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, mereka yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang negara pasti akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan perundangan sedia ada.

“Ini kerana, semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,

“JIM negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan serta proses perundangan negara termasuk pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply