Home SemasaGlobal Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

by M.Daim

SEOUL, 9 Nov – Pihak Tentera Korea Selatan hari ini mengesahkan sebuah peluru berpandu balistik telah dilancarkan oleh Korea Utara.

Perkara tersebut disahkan oleh Pejabat Tentera Korea Selatan dalam satu kenyataan.

“Penembakan misil telah dikesan pada 3.31 petang (2.31 petang waktu Malaysia) dari Sukchon,” kata pihak tentera yang dipetik oleh agensi media Korea Selatan.

Penembakan tersebut merupakan perkembangan terkini di Semenanjung Korea selepas Pyongyang melakukan penembakan lebih 80 misil termasuk peluru berpandu balistik pada awal November.

Penembakan yang dilakukan oleh Korea Utara sebelum ini turut menyaksikan sebuah misil telah terbang melepasi Zon Pemampan Perairan (Northern Limit Line, NLL).

Tentera Korea Utara (KPA) sebelum ini mengesahkan penembakan misil dan artileri pada 2 hingga November lalu merupakan simulasi serangan terhadap sasaran mereka di Korea Selatan.

Penembakan yang dilakukan oleh Pyongyang telah mencetuskan panik di kalangan penduduk di Korea Selatan dan Jepun.

Sementara itu, Tentera Korea Selatan mengesahkan pihaknya telah berjaya menemui bangkai misil yang dilancarkan pada minggu lalu dalam perairan mereka.

Menurutnya, misil yang dilancarkan dari negara jiran mereka telah dikenalpasti sebagai misil anti pesawat SA-5 yang telah diubahsuai untuk melakukan serangan permukaan.

“Pelancaran misil ini jelas dilakukan dengan sengaja untuk mencetuskan provokasi,

“Misil yang ditemui mempunyai ciri-ciri yang sama pada senjata anti permukaan yang dilancarkan oleh Rusia dalam Perang Ukraine,” katanya dalam satu kenyataan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply