Home PolitikPakatan Harapan Menteri Pengangkutan jangan lepas tangan – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan jangan lepas tangan – Anthony Loke

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Menteri Pengangkutan sementara, Datuk Seri Wee Ka Siong digesa tampil untuk memberi penjelasan dan penyelesaian terhadap isu membabitkan penutupan 16 stesen LRT selama 7 hari bermula hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, hampir 3,000,000 pengguna terjejas akibat dari penutupan stesen tersebut.

“Memang kita tahu kalau melibatkan masalah teknikal, ia tidak boleh dielakan,

“Tetapi apa yang penting ialah saya hendak menyeru Menteri Pengangkutan Sementara supaya tampil untuk mengambil tanggungjawab dalam keadaan kecemasan ini,

“Ini adalah krisis kepada sistem LRT dan Prasarana (Prasarana Sdn.Bhd). Saya tidak nampak Menteri Pengangkutan mengambil berat, ambil perhatian malah seolah-olah beliau tidak tahu perkara ini terjadi dan membiarkan hanya kepada pengurusan Prasarana untuk mengendalikan masalah ini,” jelasnya dalam sidang media di LRT Universiti Station (KJ19), hari ini.

Loke berkata, kerajaan sementara perlu mangadakan satu tindakan komprehensif yang mesti dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan walaupun Parlimen sudah dibubarkan dan ketika ini kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sedang berjalan.

“Menteri Pengangkutan sementara masih bertanggungjawab untuk memastikan satu plan yang lebih komprehesnif dengan mengarahkan semua jenis pengangkutan terutamanya di dalam Kuala Lumpur,” ujarnya.

Penyandang Ahli Parlimen Seremban ini juga berkata, kerajaan sementara perlu meningkatkan kekerapan dan kapasiti perkhidmatan rel KTM Komuter sebagai langkah sementara.

“Jika bas tidak mencukupi, sewa bas ulang-alik,

“Kementerian Pengangkutan perlu menghubungi firma e-hailing untuk melihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu krisis LRT,” ujarnya.

Loke juga menegaskan, masalah LRT akan menjadi keutamaan utama bagi PH jika PH menang dan membentuk kerajaan selepas PRU ke-15 pada 19 November ini.

Sementara itu, penyandang Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini beliau sedang berbincang dengan rakan e-hailing untuk menyediakan pengangkutan percuma kepada pengguna LRT yang terjejas di Lembah Pantai.

Menurutnya, ia adalah sebagai langkah sementara, dan berharap dapat memulakan perkhidmatan sedemikian pada hari esok. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply