Home Semasa PKPB Lembah Klang mungkin dilanjutkan

PKPB Lembah Klang mungkin dilanjutkan

by M.Daim

PUTRAJAYA, 25 Okt – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya akan disambung sekiranya kes penularan wabak COVID-19 di kawasan terbabit terus meningkat.

“Kalau ada peningkatan kes jangkitan, mungkin kita akan cadangkan pelanjutan tempoh PKPB,

“Kita lakukan pemantauan pada setiap hari dan ternyata, kes hari ini semakin meningkat,” katanya semasa sidang media harian COVID-19, semalam.

Menurut beliau, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan COVID-19 dari masa ke semasa.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri menjelaskan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan mendapat nasihat sama ada PKPB di Lembah Klang akan dilanjutkan.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula pada 14 Oktober lalu dan dijangka akan tamat pada 27 Oktober ini.

Dalam statistik yang dikeluarkan oleh KKM, Selangor mencatatkan 76 kes baharu manakala Kuala Lumpur pula mencatatkan 19 kes dengan 11 daripadanya melibatkan kes import.

Putrajaya pula tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes baharu.

Sehingga semalam, Selangor telah mencatatkan jumlah kes jangkitan COVID-19 sebanyak 3,880 kes, Kuala Lumpur 2,939 kes manakala Putrajaya sebanyak 139 kes. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply