KUALA LUMPUR, 14 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat serbuan terhadap sebuah unit pangsapuri yang dihuni oleh ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Operasi Sapu (Op Sapu) di Jalan Kampung Abdullah Hukum, Bangsar, Khamis lalu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, Op Sapu itu dijalankan oleh pasukan JIM Kuala Lumpur susulan aduan penduduk tempatan yang bimbang dengan jumlah warga asing di penempatan terbabit.
“Hampir 100 unit rumah di pangsapuri berkenaan diperiksa dalam operasi bermula jam 12.15 tengah malam kelmarin,
“Seramai 91 PATI termasuk 28 wanita berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun ditahan hasil pemeriksaan terhadap 254 warga asing,” ujarnya seperti dilapor Harian Metro.
Tambahnya, jumlah tangkapan itu terdiri daripada 33 warga Indonesia, 21 warga Bangladesh, 17 warga Myanmar, 9 warga Pakistan, 8 warga Nepal, 2 warga India dan seorang warga Filipina.
“Ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa PATI cuba bersembunyi dan enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan tidak membuka pintu rumah,
“Kebanyakan PATI berkenaan bekerja di sekitar kawasan Bangsar sebagai pekerja pembersihan serta buruh binaan,” ujarnya lagi.
Syamsul Badrin turut menjelaskan, unit rumah tersebut yang mempunyai 3 bilik dan kebanyakannya sudah diubah suai oleh pemilik sehingga boleh menampung sehingga 10 orang.
Tambahnya lagi, operasi akan terus dijalankan dalam usaha membendung PATI dan memaklumkan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama. -airtimes.my