Home Pertahanan dan Keselamatan Sindiket jadikan kondo tempat simpan dadah terbongkar

Sindiket jadikan kondo tempat simpan dadah terbongkar

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam 2 serbuan berasingan di Lembah Klang pada 22 dan 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis Datuk Azmi Abu kassim berkata, serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menerusi Operasi OTTO telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM708,900.

Menurutnya, serbuan pertama yang dijalankan pada jam 10.45 malam di Jalan Vista Mutiara, Kepong telah membawa kepada penahanan seorang lelaki Cina warga tempatan berumur 48 tahun.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 383.80 gram pil ecstacy dan 123.87 gram syabu bernilai keseluruhan RM30,300,

“Suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dari hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, pihak polis telah membuat serbuan kedua pada jam 12.35 tengah malam keesokannya di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil berdasarkan siasatan dan di pandu arah oleh suspek.

Azmi berkata, hasil serbuan pihaknya telah berjaya merampas 13.59 kg dadah jenis ecstacy dan 1.04 kg syabu bernilai keseluruhan RM678,600.

“Sindiket ini giat aktif sejak 4 bulan lepas dengan menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah daripada dikesan oleh pihak berkuasa,

“Bekalan dadah diperolehi daripada pengedar dadah tempatan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azmi menjelaskan suspek memilik satu rekod jenayah dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan sindiket dadah lain yang terlibat.

“Suspek direman 7 hari sehingga 29 Ogos 2022 di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply