KOTA BHARU, 14 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Kelantan mengesahkan penularan rakaman audio di media sosial beberapa hari lalu yang menyatakan Kelantan bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak benar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dalam satu kenyataan, menasihatkan orang ramai untuk merujuk laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan bagi mendapatkan maklumat terkini keadaan dan arahan semasa dalam membendung penularan COVID-19 di negeri tersebut.
“Oleh demikian, pihak PDRM Kelantan ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menularkan ataupun menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak yang bertanggungjawab,
“Kerana dengan penyebaran maklumat berita-berita palsu atau diragui kesahihannya, tindakan tegas boleh diambil jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.
Sebelum ini, tular satu rakaman audio seorang lelaki berdurasi 3 minit 18 saat menerusi aplikasi WhatApps yang menyatakan PKP akan dilaksanakan di Kelantan bermula 14 hingga 21 April ini.
Pada Isnin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di 6 negeri dan Wilayah dilanjutkan bermula 15 hingga 28 April ini. – airtimes.my