Home Semasa PKPD di Kuarters Sri Jelutung Chini bermula esok

PKPD di Kuarters Sri Jelutung Chini bermula esok

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Sri Jelutung, Chini, Pahang bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi kes COVID-19 di kawasan itu.

“Sehingga 3 Mac 2021, sebanyak 30 kes positif telah direkodkan dan seramai 150 kontak rapat telah dikenal pasti yang melibatkan penghuni kuarters ini,

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kuarters Sri Jelutung, Chini Pahang bermula 6 Mac hingga 19 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Beliau berkata, pelaksaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat.

Sementara itu, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang esok seperti dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 94 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply