Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 22 lagi PATI ditahan, 3 kenderaan dirampas

Op Benteng: 22 lagi PATI ditahan, 3 kenderaan dirampas

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Apr – Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Op Benteng dilaksanakan bagi mengawal sempadan negara yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi lain turut merampas 3  buah kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 112 buah bot atau kapal di perairan negara melalui 9 aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Sementara itu, Op Benteng melibatkan PDRM, ATM, APMM dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 272 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam.

“Op Benteng PDRM, ATM dan RELA sebanyak 214 SJR, Op Benteng PDRM (49 SJR) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebanyak 9 SJR,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM semalam telah menahan 243 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, 219 individu dikompaun manakala 24 direman,

“Kesalahan yang direkodkan ialah gagal mendaftar masuk premis (99); tidak memakai pelitup muka (51); tiada penjarakan fizikal (37); aktiviti pusat hiburan (18) dan lain-lain (38),” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply