BALI, 25 Apr – Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Marshal Hadi Tjahjanto hari ini mengesahkan kesemua 53 anak kapal KRI NANGGALA disahkan maut selepas bangkai kapal selam terbabit telah ditemui.
Menurut beliau, antara yang ditemui secara visual adalah bahagian kemudi kapal selam, sauh, dan baju keselamatan anak kapal.
“Berdasarkan kesemua bukti tersebut, KRI Nanggala disahkan tenggelam dan kesemua anak kapalnya terkorban,
“Kesemua perajurit terbaik Hiu Kencana (Kor Kapal Selam) telah gugur semasa menjalankan tugas di perairan utara Bali,” kata Hadi semasa sidang media hari ini.
Sementara itu, Ketua Staf Angkatan Laut, Laksamana TNI Yudo Margono mengesahkan visual bangkai KRI Nanggala telah dikesan oleh KRI RIGEL.
“ROV Singapura telah melakukan pemantauan visual terhadap kapal selam,
“Visual menunjukkan KRI Nanggala terbelah kepada 3 bahagian,” jelasnya.
Penemuan terbaharu ini sekaligus menutup persoalan nasib KRI Nanggala yang dilaporkan hilang semenjak 21 April lalu.
Kapal selam kelas Cakra yang mencecah usia 42 tahun itu dilaporkan hilang semasa melaksanakan latihan penembakan torpedo di perairan Bali.
Ketika kejadian, KRI dikendalikan oleh 53 anak kapal termasuk komandernya, Leftenan Kolonel Laut Heri Oktavian.– airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Indonesia #KRINanggala