Home Semasa Tangani krisis COVID-19 ikut lunas Perlembagaan – Tok Mat

Tangani krisis COVID-19 ikut lunas Perlembagaan – Tok Mat

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menegaskan kerajaan mesti menangani krisis COVID-19 dengan mengikut lunas Perlembagaan.

Beliau dalam satu hantaran di akaun media sosialnya berkata, krisis ini dapat diatasi dengan menggunakan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomoi dan kepatuhan kepada Perlembagaan.

“Tanganilah krisis ini dengan mempertahankan perlembagaan, membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemaskan respons sistem kesihatan dan keselamatan awam,

“Utamakan kepentingan rakyat biasa dengan tidak menambahkan kesusahan kepada mereka,” tegas Tok Mat.

Beliau menambah kemampuan sistem kesihatan negara telah diuji dan diiktiraf oleh dunia sebagai salah sebuah negara terbaik dalam menangani wabak ini.

“Justeru, apa jua tindakan menangani krisis ini mestilah memaparkan keupayaan Kerajaan bertindak dengan wajar, saintifik dan mengambil kira kepentingan awam,

“Sesuatu yang membelakangkan sains, menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan perlembagaan akan memburukkan lagi keadaan, meletakkan negara serta rakyat dalam keadaan yang lebih sulit,” ujarnya.

Tok Mat menjelaskan, Malaysia tidak berada dalam kelumpuhan ekonomi, sistem kesihatan dan keselamatan awam.

Menurutnya lagi, Malaysia telah berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang terfokus, dirangsang dengan pelbagai stimulus.

“Ini selari dengan kepentingan rakyat dan sistem kesihatan yang berfungsi baik walaupun dalam keadaan tertekan,

“Rakyat yang terkesan dengan krisis ini terus patuh dengan protokol kesihatan yang diwartakan,

“Malah rakyat Malaysia terus gigih berikhtiar memberdayakan diri mereka dengan pekerjaan dan perniagaan bagi kelangsungan kehidupan,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply