JAKARTA, 27 Sept – Jumlah kematian akibat COVID-19 di Indonesia didakwa jauh lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan secara rasmi.
Pakar jangkitan penyakit (epidemiologi) dari Griffith University Australia, Dicky Budiman berkata, angka kematian sebenar di negara terbesar ASEAN itu adalah 3 kali ganda.
“Indonesia sepatutnya menggunakan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengenalpasti kematian yang berpunca dari COVID-19,
“Panduan tersebut sepatutnya digunakan demi menjamin masa depan negara,” katanya yang dipetik oleh media Indonesia, Kompas.com
Menurut beliau, WHO menggariskan kematian akibat COVID-19 adalah berpunca dari komplikasi yang mempunyai kemungkinan jangkitan atau berkaitan terus dengan wabak itu.
“Indonesia tidak menggunakan definisi tersebut dan telah mengabaikan kes kematian yang disyaki berpunca dari COVID-19,
“Jika definisi tersebut digunakan, angka kematian adalah 3 kali ganda daripada yang telah dilaporkan selama ini,” ujarnya.
Beliau menambah, negara republik itu mempunyai kadar kematian tertinggi di rantau Asia Tenggara dan ketiga tertinggi Asia.
Sehingga semalam, COVID-19 telah menjangkiti seramai 271,339 pesakit dan meragut 10,308 nyawa. – airtimes.my