KOTA TINGGI, 7 MEI 2026 – 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) melaksanakan Eksesais Twin Tigers Siri 1/2026 di sekitar Tanjung Pengelih dari 2 hingga 8 Mei 2026.
Eksesais bersama itu berteraskan latihan operasi melawan keganasan bagi meningkatkan kompetensi dan kesiapsiagaan anggota menghadapi ancaman moden.
Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail turut berkenan berangkat ke eksesais berkenaan bagi mengikuti disiplin latihan yang dirancang.
Latihan itu turut memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan serta pengukuhan kemahiran taktik, teknik dan prosedur (TTP) dalam misi menyelamatkan tebusan.
Menurut maklumat sama, pelaksanaan eksesais itu selaras dengan Tonggak Ke-3 Perintah Ulung Panglima 21 GGK, iaitu “Latihan Yang Efektif”.
Secara keseluruhan, eksesais itu melibatkan pasukan di bawah formasi 21 GGK serta elemen bantuan daripada Cawangan Serigala PULADA, Rejimen 881 dan 883 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), 7 Briged, Rejimen 501 Askar Wataniah (Rej 501 AW), 91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP), KD Sultan Ismail dan No.10 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Eksesais berkenaan turut mendapat kerjasama syarikat berkaitan industri pertahanan, termasuk MILDEF International Technologies dan Motorola Solutions Malaysia.
Latihan bersama itu menjadi platform penyelarasan antara pasukan terlibat dalam memperkukuh kemahiran operasi, khususnya bagi senario melawan keganasan dan menyelamatkan tebusan. -airtimes.my
















