4 buah helikopter yang akan diterima oleh Tentera Darat Malaysia dalam masa terdekat dimaklumkan berkemungkinan diperolehi secara sewaan.
Beberapa sumber memaklumkan kepada Air Times bahawa perolehan tersebut tidak melibatkan pembelian terus dari pengeluar iaitu Sikorsky.
“Melihat semula kepada ucapan Panglima Tentera Darat, helikopter terbabit akan diterima dalam masa yang terdekat dan hanya menanti Surat Setuju Terima (SST),
“Ini memandangkan perolehan aset dari Amerika Syarikat perlu melalui prosedur termasuk Foreign Military Sales (FMS),” kata sumber yang maklum dengan perolehan dari negara kuasa besar itu.
Penerimaan 4 buah helikopter ini juga perlu dilihat sebagai “stop-gap measure” selepas helikopter Nuri dibersarakan pada 2021.
“Senario pertahanan sebelum ini tidak begitu memberansangkan dengan melihat beberapa perolehan yang tertangguh sehingga menyebabkan aset yang sepatutnya diganti masih lagi beroperasi,
“Selain daripada itu, penamatan khidmat Nuri turut memberikan tambahan beban tugas kepada helikopter lain,
“Secara tidak langsung, ia menyebabkan tempoh operasi fleet helikopter yang sedia ada lebih kerap daripada biasa,
“Tambahan pula, helikopter adalah tulang belakang operasi Angkatan Tentera Malaysia terutamanya dalam menghadapi suasana bencana,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya FMS diumumkan – ia bermakna helikopter tidak disewa sebagaimana digembar-gemburkan pada ketika ini.
Pada masa yang sama, Air Times turut dimaklumkan bahawa 4 helikopter terbabit akan dioperasikan oleh Rejimen 882 Pasukan Udara Tentera Darat (882 PUTD).
“Mungkin ada yang melihat sewa ini sebagai satu pembaziran tetapi itu adalah pilihan yang sedia ada memandangkan pengoperasian helikopter sebegini adalah amat diperlukan dengan segera dalam situasi semasa,
“Maka, kita perlu mengimbangi antara keperluan semasa ATM dan memperbaiki jurang aset yang sedia ada,
“Pun begitu, kita mengharapkan tidak ada penangguhan memandangkan isu sebegini akan memberikan implikasi yang negatif pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menambah, keputusan untuk memilih Black Hawk berdasarkan cadangan dan pandangan PUTD Â adalah satu langkah yang baik.
“Apa yang dikehendaki oleh pengguna akhir (end user) adalah satu langkah terbaik kerana mereka lebih mengetahui apa yang diperlukan,
“Pun begitu, kita berharap proses perolehan ini dicapai dengan baik kerana sebarang penangguhan pada masa kini akan lebih menyukarkan keadaan,
“Selain itu, mungkin pengoperasian Black Hawk ini akan memberikan ruang kepada Tentera Darat untuk memiliki helikopter ini pada masa akan datang,
“Sudah tentu, kita perlu melihat hubungan baik Malaysia dengan negara luar termasuk Washington yang mungkin akan membantu perolehan aset dari sudut strategik,” katanya.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose mengumumkan Tentera Darat Malaysia akan menerima 4 buah helikopter Black Hawk pada bulan Mei-Jun. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara spesifik model dan bentuk perolehan yang dilakukan.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan Majlis Perbarisan Penghargaan  Panglima Tentera Darat Ke-28 dan Hari Ulang Tahun PUTD di Kem Mahkota, Kluang. – airtimes.my