KUALA LUMPUR, 4 Jul – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan (MINDEF), hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada jam 11 pagi disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM serta panglima-panglima perkhidmatan serta pengurusan tertinggi MINDEF.
MINDEF menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong telah menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terdiri daripada 4 pegawai serta 103 anggota yang diketuai oleh Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.
“Di dalam sesi lawatan ini juga, Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah taklimat dari Pegawai-pegawai Kanan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenaan Pelan Pemulihan Aset Littoral Combat Ship (LCS),
“Selain itu, Baginda turut berkenan menerima Pindaan Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), agenda memperkasakan veteran ATM serta pengoperasian Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut MINDEF, lawatan rasmi ini adalah merupakan julung kali dizahirkan Seri Paduka Baginda ke atas organisasi Kementerian-Kementerian di Malaysia sejak ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Kementerian Pertahanan dan ATM menjunjung kasih di atas kesudian Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia mencemar duli mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan,” ujar Kementerian Pertahanan. -airtimes.my