TEHRAN, 30 MAC – Iran mengumumkan pelancaran gelombang ke-86 kempen ketenteraan dikenali sebagai Operasi Janji Sejati 4. Serangan itu didakwa menyasarkan kedudukan berkaitan Amerika Syarikat dan Israel di seluruh rantau.
Kenyataan itu disampaikan oleh jurucakap Ibu Pejabat Khatam al-Anbiya, Kolonel Ebrahim Zolfaghari, yang menyifatkan operasi berkenaan sebahagian daripada “pertempuran berterusan” angkatan tentera Iran.
Menurut kenyataan itu, operasi berbilang fasa itu dijalankan oleh unit aeroangkasa serta tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam. Ia melibatkan serangan peluru berpandu berskala besar dan penggunaan dron kawanan yang diselaraskan.
Iran mendakwa fasa pertama menyasarkan infrastruktur operasi udara, kemudahan dron serta depot senjata di pangkalan berkaitan AS. Antara lokasi disebut termasuk pangkalan Victory di Iraq, Arifjan di Kuwait dan Al Kharj di Arab Saudi.
Beliau menambah, serangan susulan didakwa menyasarkan kemudahan berkaitan Amerika, Israel dan kumpulan pembangkang Kurdish Komala. Turut dilaporkan meliputi kawasan Arad, Negev hingga ke Tel Aviv, selain Armada Kelima AS, pangkalan udara Al Dhafra di Emiriah Arab Bersatu dan Erbil.
Dalam masa sama, Iran mendakwa sebuah pesawat amaran awal dan kawalan udara E-3 Sentry (AWACS) musnah sepenuhnya di Al Kharj. Dakwaan itu bagaimanapun belum disahkan secara bebas oleh mana-mana pihak.
Pihak berkuasa Iran turut memaklumkan sistem pertahanan udara mereka berjaya memintas dua dron Orbiter berhampiran Khorramabad, dan memusnahkan sebuah lagi dron musuh di timur Selat Hormuz.
Selain itu, dron Iran didakwa menyasarkan kemudahan sokongan dan penginapan tentera AS di pangkalan udara Azraq di Jordan. Lokasi itu disifatkan sebagai hab operasi utama untuk misi menentang Iran.
Zolfaghari berkata, bukti visual seperti bangkai pesawat, asap dan letupan menunjukkan impak serangan tersebut.
“Imej ini menjejaskan usaha pihak tertentu untuk mengehadkan liputan serangan, katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut memberi amaran bahawa penggunaan ruang udara serantau oleh AS untuk operasi terhadap Iran akan mendedahkan pangkalan mereka kepada serangan lanjut.
Iran menegaskan angkatan tenteranya akan terus bertindak balas dengan serangan “yang lebih kuat dan menghancurkan”. – airtimes.my
