Home GlobalFilipina isytihar darurat tenaga susulan perang di Asia Barat

Filipina isytihar darurat tenaga susulan perang di Asia Barat

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

MANILA, 25 MAC – Kerajaan Filipina secara rasmi mengisytiharkan status Darurat Tenaga Kebangsaan berikutan ketegangan geopolitik bersenjata yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.

Krisis yang tercetus semenjak 28 Februari lalu masih lagi menimbulkan kebimbangan terhadap situasi bekalan bahan api di peringkat global. Keadaan ini memaksa pelbagai pihak mengambil langkah tersendiri untuk menangani impak peperangan di Timur Tengah yang menjangkaui minggu keempat.

Pengisytiharan melalui Perintah Eksekutif No. 110 itu ditandatangani oleh Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. pada Selasa selepas pentadbiran Manila mengenal pasti ancaman bahaya yang kritikal terhadap ketersediaan dan kestabilan bekalan tenaga domestik negara tersebut.

Situasi ekonomi luar jangka ini diburukkan lagi dengan insiden penutupan Selat Hormuz yang merupakan koridor tenaga kritikal bagi penghantaran petroleum dunia. Penutupan laluan maritim strategik itu telah menyekat aliran produk bahan api ke pasaran antarabangsa.

Sebagai sebuah negara pengimport bersih produk petroleum, Filipina amat bergantung kepada sumber bekalan bahan api luar. Oleh yang demikian, negara kepulauan itu sangat terdedah kepada gangguan rantaian pengangkutan minyak global yang boleh menjejaskan kelancaran penghantaran tenaga hariannya.

“Status darurat tenaga kebangsaan dengan ini diisytiharkan berikutan konflik yang berterusan di Timur Tengah, dan ancaman bahaya yang hampir terhadap ketersediaan serta kestabilan bekalan tenaga negara,” penegasan arahan itu dinyatakan di dalam dokumen perintah eksekutif berkenaan.

Bagi melindungi kepentingan awam dan memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi, Filipina telah melancarkan kerangka tindak balas menyeluruh yang dikenali sebagai Pakej Bersepadu untuk Mata Pencarian, Industri, Makanan, dan Pengangkutan (UPLIFT).

Pelaksanaan UPLIFT disasarkan untuk mengurangkan impak krisis dengan memastikan penyampaian perkhidmatan penting tidak terganggu, selain menjaga kebajikan seluruh rakyat terutamanya sektor yang terdedah kepada risiko ekonomi.

Di bawah perintah darurat tersebut, Jabatan Tenaga Filipina (DOE) diberikan kuasa meluas untuk mengambil langkah proaktif bagi mengekalkan kestabilan bekalan. Ini merangkumi penguatkuasaan langkah pemuliharaan tenaga yang ketat dan pelaksanaan pelan pengoptimuman bahan api kerajaan.

Bagi mengekang manipulasi harga pasaran gelap ketika krisis, Manila akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti menyorok bekalan dan mengaut keuntungan berlebihan ke atas produk petroleum.

Pihak DOE juga dibenarkan mencadangkan kepada Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga (ERC) untuk mengguna pakai langkah kawal selia yang sesuai dalam operasi Pasaran Semerta Elektrik Borong (WESM).

Langkah ini membolehkan kerajaan menggantung operasi pasaran sementara apabila berlaku kemeruapan harga yang luar biasa.

Selain pengurusan tenaga, kerajaan mengarahkan Jabatan Pengangkutan (DOTr) untuk menyediakan program bantuan pengangkutan, termasuk peruntukan subsidi bahan api bagi meringankan beban sektor pengangkutan awam.

Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan (DSWD) dipertanggungjawabkan untuk mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan kepada sektor yang terjejas teruk seperti pekerja pengangkutan, petani, nelayan, dan Pekerja Filipina di Luar Negara (OFW) yang terpaksa dibawa pulang.

Bagi melindungi nyawa warganya di luar negara, Jabatan Pekerja Migran (DMW) turut diarah menggerakkan mekanisme pemantauan, penyelamatan dan proses pemindahan OFW yang terkandas akibat konflik bersenjata tersebut.

Pengisytiharan status Darurat Tenaga Kebangsaan di Filipina ini akan berkuat kuasa bagi tempoh satu tahun, melainkan ia dilanjutkan atau ditarik balik lebih awal oleh Presiden. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply