TAMPA, 14 MAC – Kesemua 6 kru sebuah pesawat pengisi minyak KC-135 milik tentera Amerika Syarikat (AS) disahkan terkorban selepas pesawat berkenaan terhempas di kawasan barat Iraq.
Markas Pemerintahan Tengah AS (US CENTCOM) mengesahkan perkembangan terkini insiden tersebut di saluran rasminya. Kejadian dilaporkan berlaku ketika pesawat terbabit sedang beroperasi di ruang udara rakan sekutu di barat Iraq.
Penerbangan tersebut merupakan sebahagian daripada misi di bawah Operasi Epic Fury.
“Keadaan sebenar kejadian masih di bawah siasatan pihak kami.
“Walau bagaimanapun, kehilangan pesawat ini disahkan bukan berpunca daripada tembakan musuh mahupun tembakan rakan sendiri,” jelas CENTCOM dalam satu kenyataan rasmi mutakhir.
Menurut pihak tentera AS, insiden yang direkodkan berlaku pada sekitar jam 2 petang Waktu Timur (ET) 12 Mac itu pada awalnya melibatkan dua buah pesawat.
Walau bagaimanapun, pesawat kedua yang terlibat dalam insiden tersebut dilaporkan berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Terdahulu, kenyataan awal daripada US CENTCOM melaporkan kehilangan pesawat berkenaan dan mengesahkan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan di lokasi kejadian.
Pasukan penyelamat kemudiannya menemukan mangsa dan mengesahkan empat daripada enam kru terbabit meninggal dunia. Kemas kini terbaharu akhirnya merumuskan bahawa tiada mangsa yang terselamat dalam nahas udara tersebut.
Pihak tentera AS menegaskan bahawa identiti kesemua anggota perkhidmatan yang terkorban dirahsiakan buat masa ini bagi menghormati prosedur operasi standard.
Maklumat terperinci mengenai mangsa hanya akan didedahkan kepada umum selepas tempoh 24 jam waris terdekat dimaklumkan secara rasmi. – airtimes.my
