Home Pertahanan dan KeselamatanIsrael lancar 2 serangan berhampiran pos kawalan MALBATT 850-13

Israel lancar 2 serangan berhampiran pos kawalan MALBATT 850-13

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 MAC – Seramai sembilan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam insiden serangan udara tentera Israel (IDF) berhampiran pos kawalan mereka di selatan Lubnan pada awal pagi Jumaat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata serangan pertama yang berlaku pada jam 2.35 pagi waktu tempatan itu disasarkan pada jarak anggaran 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan pengaman tersebut.

Menurut beliau, serangan udara terbabit dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani.

“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada jam 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan pos kawalan tersebut,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di pos kawalan telah diarahkan oleh Pusat Operasi Taktikal (TOC) untuk berundur sebagai langkah keselamatan.

Kesemua anggota tersebut kemudiannya bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) dan tiba di sebuah lokasi selamat pada jam 4.12 pagi waktu tempatan.

Menteri Pertahanan mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan anggota MALBATT mahupun LAF dalam insiden berkenaan. Kesemua persenjataan serta peralatan yang dibawa juga berada dalam keadaan selamat.

Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kekal tinggi, pegawai perubatan telah menjalankan pemeriksaan kesihatan dan mendapati kesemua anggota berada dalam keadaan baik.

Kementerian Pertahanan pada masa sama menegaskan bahawa keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sentiasa menjadi keutamaan utama kerajaan.

Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL bagi memastikan keselamatan anggota pengaman sentiasa terpelihara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply