Home GlobalMajlis keselamatan PBB lulus resolusi kecam serangan Iran ke atas negara Teluk

Majlis keselamatan PBB lulus resolusi kecam serangan Iran ke atas negara Teluk

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

NEW YORK,12 MAC – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Rabu telah meluluskan satu resolusi bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan berterusan Iran ke atas negara-negara jirannya

Menerusi undian yang dijalankan, seramai 13 ahli majlis tersebut menyokong penuh Resolusi 2817 (2026) tanpa sebarang bantahan. Walau bagaimanapun, China dan Persekutuan Rusia mengambil pendirian untuk berkecuali.

Kelulusan dokumen ini hadir ketika peperangan yang tercetus akibat serangan udara Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran pada 28 Februari lalu kini hampir memasuki minggu kedua dan mula merebak ke hampir ke seluruh rantau bergolak berkenaan.

Resolusi yang dirangka oleh Bahrain dan ditaja bersama oleh hampir 140 negara anggota PBB tersebut secara khusus mengecam sasaran ketenteraan Iran ke atas Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Jordan.

UNSC turut mengulangi sokongan teguh terhadap kedaulatan, integriti wilayah, dan kebebasan politik kesemua negara Teluk yang terjejas akibat tindakan oleh Tehran.

Dalam masa yang sama, badan dunia tersebut mengutuk keras serangan Iran ke atas kawasan perumahan dan pelbagai infrastruktur awam. UNSC mendesak agar Tehran menghentikan serta-merta segala operasi ketenteraan tersebut, selain menuntut penamatan segera pelbagai bentuk ancaman, provokasi rentas sempadan, gangguan ke atas laluan perdagangan maritim antarabangsa, dan penajaan ke atas kumpulan proksi serantau.

Wakil Bahrain yang mengetuai rundingan draf resolusi berkenaan menyambut baik kelulusan tersebut dan menyifatkan sokongan global yang besar itu sebagai cerminan kepada hati nurani kolektif masyarakat antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa wilayah Teluk adalah tonggak kepada keselamatan global, kestabilan ekonomi, dan kelancaran rantaian perdagangan, lantas menjadikan usaha melindungi Asia Barat sebagai agenda dan kepentingan seluruh dunia.

“Mesejnya adalah amat jelas. Komuniti antarabangsa bersikap tegas dalam menolak tindakan bermusuhan dan tidak wajar Iran yang menyasarkan negara berdaulat serta mengancam kestabilan rakyat mereka,” kata wakil Bahrain dalam kenyataan rasminya pada persidangan tersebut.

Pendirian itu turut dipersetujui oleh wakil Perancis yang memberi amaran bahawa Iran memikul tanggungjawab yang sangat berat terhadap peningkatan skala konflik pada masa ini.

Beliau menegaskan bahawa peperangan yang membawa risiko besar kepada keselamatan serantau itu mesti dihentikan sekarang juga dengan mematuhi sepenuhnya kerangka undang-undang antarabangsa dan pendekatan diplomasi.

Turut senada adalah wakil AS yang bertindak sebagai Presiden Majlis Keselamatan pada Mac ini. Menurut beliau, tindakan Iran yang melepaskan serangan secara melulu ke semua arah telah menyatukan pelbagai negara Teluk yang sebelum ini mempunyai perselisihan faham untuk berdiri teguh dan bersuara dengan satu nada yang sama.

Menyentuh aspek batasan undang-undang, wakil Liberia yang berucap bagi pihak Republik Demokratik Congo dan Somalia menegaskan bahawa PBB tidak wujud untuk menyokong sebarang tafsiran di luar jangkauan bagi Perkara 51 Piagam PBB.

Beliau mengingatkan bahawa tindakan merisikokan kelonggaran batasan penggunaan senjata hanya akan memusnahkan prinsip teras keselamatan antarabangsa.

Sementara itu, wakil Iran membidas kelulusan resolusi tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu ketidakadilan yang nyata terhadap negaranya.

Tehran menegaskan kedudukan mereka selaku mangsa pencerobohan asal sambil mendakwa AS telah menyalahgunakan kuasa sebagai Presiden Majlis untuk menghalang usaha memuktamadkan gencatan senjata.

Wakil Israel yang turut hadir dalam persidangan tersebut sebaliknya menyambut baik inisiatif negara-negara Teluk.

Beliau menegaskan bahawa tindakan menyasarkan orang awam dan bandar-bandar adalah satu kesalahan besar, sambil menolak sepenuhnya dakwaan Iran bahawa program nuklear negara itu didorong secara eksklusif untuk tujuan keamanan semata-mata.

Dalam sesi perbahasan yang sama, UNSC telah menolak draf resolusi alternatif yang dikemukakan oleh Rusia berikutan pendekatannya yang dianggap berat sebelah dan gagal menamakan mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik berkenaan secara spesifik.

Draf tersebut hanya menerima empat undian menyokong, dua menentang, manakala sembilan negara memilih untuk berkecuali. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply