TEHRAN –Iran hari ini secara rasmi melantik Mojtaba Hosseini Khamenei sebagai Pemimpin Agung baharu Republik Islam Iran.
Pemilihan dibuat selepas Ali Khamenei disahkan terkorban dalam satu serangan udara di Tehran pada 28 Februari lalu.
Susulan pengumuman bersejarah itu, pelbagai cabang ketenteraan dan keselamatan utama Iran tampil menyatakan ikrar taat setia. Markas Angkatan Tentera Iran dan Markas Pusat Khatam al-Anbiya’ mengeluarkan kenyataan bersama yang mengikrar taat setia penuh kepada Mojtaba Khamenei sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera yang baharu.
Pihak tentera menyifatkan beliau sebagai seorang tokoh yang memiliki kelayakan menyeluruh dan amat bertepatan untuk mengemudi negara ketika berdepan persimpangan sejarah yang kritikal ini. Dalam pada itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan kelancaran proses peralihan kepimpinan tersebut sebagai bukti kukuh keutuhan sistem pentadbiran Iran.
“Proses pemilihan yang pantas dan muktamad ini membuktikan daya maju serta kebebasan sistem Islam Iran yang berterusan,” jelas kenyataan pasukan itu. – airtimes.my
