Home SemasaAnwar Beri Amaran Perang Asia Barat Akan Cetus Krisis Minyak, Gugat Rantaian Global

Anwar Beri Amaran Perang Asia Barat Akan Cetus Krisis Minyak, Gugat Rantaian Global

by M.Daim
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 9 MAC – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa komuniti antarabangsa untuk campur tangan segera bagi menamatkan konflik bersenjata di Asia Barat yang kini mula memberi ancaman langsung kepada rantaian bekalan minyak dan laluan perkapalan komersial global.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa krisis tersebut telah mengancam kedaulatan sekurang-kurangnya 8 buah negara lain.

Konflik bersenjata yang kian memuncak itu telah menjejaskan keselamatan di Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain turut merebak ke Azerbaijan, Jordan, serta Turkiye.

Menurut Anwar, peperangan yang berlanjutan semenjak 28 Februari lalu telah menjejaskan infrastruktur kritikal. Kemudahan bekalan air dan fasiliti penjanaan tenaga yang menjadi sumber asas kehidupan jutaan penduduk telah musnah akibat konflik berkenaan.

Beliau mengingatkan masyarakat dunia bahawa perairan di rantau tersebut merupakan nadi utama bagi perkapalan dan rantaian tenaga antarabangsa. Tegasnya, sebarang gangguan atau kelumpuhan laluan laut di kawasan itu akan mencetuskan kesan kemelesetan ekonomi yang parah jauh melangkaui sempadan Asia Barat.

Menyentuh aspek diplomasi, Anwar menjelaskan pendirian kerajaan adalah selaras dengan ketetapan berprinsip dwipartisan yang diputuskan oleh Parlimen Malaysia. Beliau menyambut baik dan menyifatkan gesaan kawalan kendiri oleh kepimpinan tertinggi Iran sebagai satu langkah yang wajar dihormati oleh semua pihak.

“Pasti akan sentiasa ada suara-suara yang menggesa kepada pendekatan yang lebih keras, namun sejarah jarang berpihak kepada mereka yang memilih kebangkitan konflik berbanding rundingan ketika pintu dialog masih terbuka,” kata Perdana Menteri.

Beliau menambah, usaha mengekalkan pintu dialog terbuka menuntut keberanian sebenar daripada para pemimpin dunia pada saat wujudnya tekanan mendesak untuk mengambil tindakan ketenteraan.

Pada masa yang sama, Anwar mengulangi komitmen bahawa Malaysia sentiasa bersedia menyokong sebarang usaha damai yang kredibel. Matlamat utama kerajaan Malayusia adalah mencapai persetujuan penamatan permusuhan secara muktamad melalui meja rundingan.

Beliau turut mendesak komuniti antarabangsa bertindak segera secara kolektif dengan matlamat yang jelas sebelum peperangan ini meragut lebih banyak nyawa dan mengheret lebih banyak negara ke kancah kemusnahan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply