Home DiskusiTanpa USS Nimitz: Kapal AS mana akan jaga Laut China Selatan sekarang?

Tanpa USS Nimitz: Kapal AS mana akan jaga Laut China Selatan sekarang?

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

Ketika dunia memberi tumpuan kepada ketegangan di Timur Tengah melibatkan Israel dan Iran, sebuah peralihan strategik yang besar sedang berlaku di Lautan Pasifik, namun nyaris tidak disedari.

USS Nimitz, antara kapal pengangkut pesawat paling berpengaruh milik Amerika Syarikat (AS), yang sebelum ini menjalankan operasi keselamatan maritim di Laut China Selatan, telah diarahkan keluar dari rantau Asia Pasifik untuk dikerahkan ke Timur Tengah.

Destinasi asalnya Vietnam kini digantikan dengan kawasan konflik yang lebih panas.

Bagi rantau ini, khususnya negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) termasuk Malaysia, perkembangan ini sedikit sebanyak membimbangkan.

Selama bertahun-tahun, kehadiran kapal induk seperti USS Nimitz bersama kumpulan kapal-kapal perangnya daripada Nimitz Carrier Strike Group berfungsi sebagai ‘penahan’ utama terhadap tindakan agresif China di Laut China Selatan.

USS Nimitz akan melaksanakan operasi-operasi keselamatan maritim secara berkala termasuk latihan serangan maritim, operasi tinjauan penerbangan, aktiviti anti-kapal selam dan operasi bersama tentera bersekutu lain di rantau Indo-pasifik.

Kehilangan kapal sebesar itu kepada konflik di Timur Tengah daripada perairan strategik ini membuka satu persoalan penting: adakah ini memberi ruang kepada Beijing memperluaskan cengkamannya ke atas wilayah maritim yang menjadi rebutan?

USS Nimitz, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) yang diarah ke Timur Tengah (Foto: X US Navy)

Kekosongan salah satu kuasa dominan

LCS bukan sekadar laluan perdagangan ia adalah medan ujian antara kuasa maritim sedia ada dan kuasa yang sedang meningkat. Kawasan ini menyumbang kepada kira-kira satu pertiga perdagangan dunia dan mengandungi sumber minyak serta gas yang belum diterokai di bawah dasar lautnya.

Maka tidak hairanlah, perairan berkenaan sentiasa menjadi rebutan bermula daripada zaman penjajahan kolonial Barat sehingga kini.

Selain itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, konflik di Laut China Selatan (LCS) semakin meruncing. China telah membuat tuntutan ke atas kira-kira 90 peratus daripada keluasan 3.5 juta kilometer persegi LCS, merangkumi wilayah yang turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Usaha pesat China membangunkan kawasan yang dipertikaikan melalui penambakan tanah jauh mengatasi keupayaan negara-negara lain yang turut terlibat dalam pertikaian tersebut.

Justeru, bagi AS, kehadiran tentera laut mereka di sini bukan semata-mata untuk mempertahankan kebebasan pelayaran dan menghalang daripada China berbuat suka hati, malah juga sebagai satu bentuk isyarat kepada China bahawa dominasi unipolar belum berakhir.

Namun apabila USS Nimitz bersama Kumpulan Serangan Pengangkut 11 (Carrier Strike Group 11) dialihkan ke Timur Tengah pada 16 Jun lalu susulan kebimbangan terhadap eskalasi konflik Iran-Israel, ia mewujudkan naratif ‘kekosongan kehadiran’.

Ketika artikel ini ditulis, tiada satu pun kapal induk AS dikerahkan secara tetap di perairan Pasifik barat untuk kali pertama dalam tempoh yang agak panjang.

Ini bukan kali pertama strategi keselamatan AS terganggu oleh krisis lain. Tetapi perbezaannya kali ini, China lebih bersedia melihatkan kepada jumlah aset dan pembiayaan pertahanan negara berkenaan.

PLA China melaksanakan ‘dual-carrier ops’ bersama dua kapal induknya iaitu Liaoning, Shandong. (Foto: China Military)

China tidak menunggu

Dalam beberapa bulan kebelakangan, Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China telah meningkatkan kekerapan rondaan dan latihan di sekitar Kepulauan Spratly dan Paracel iaitu dua gugusan terumbu di Laut China Selatan.

Malah Menteri Pertahanan Jepun, Nakatani Gen turut mengesahkan 2 kapal pengangkut pesawat China, Liaoning dan Shandong telah beroperasi serentak di Lautan Pasifik, khususnya di kawasan timur Iwo Jima.

Aktiviti itu turut melibatkan pelancaran dan pendaratan jet pejuang dari kedua-dua kapal dalam tempoh 7 hingga 9 Jun lalu.

Kapal pengawal pantai China juga dilaporkan semakin agresif terhadap nelayan dari Filipina dan Vietnam. Malah menurut media antarabangsa, kejadian pelanggaran serta penggunaan meriam air telah meningkat.

Filipina, misalnya, terpaksa memperkukuh hubungan dengan AS menerusi Enhanced Defense Cooperation Agreement (EDCA) yang membolehkan tentera AS menggunakan lebih banyak pangkalan di negara itu.

Namun itu tidak mengubah realiti bahawa kehadiran fizikal kapal seperti USS Nimitz mampu memberikan tekanan yang lebih ketara berbanding sekadar perjanjian.

Implikasi kepada Malaysia

Malaysia bukanlah negara yang terlalu vokal dalam mempertahankan tuntutan di Laut China Selatan, namun itu tidak bermakna kita bersikap lepas tangan dan bebas daripada risiko.

Zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia di kawasan Beting Patinggi Ali serta Beting Serupai di luar pantai Sarawak, antara yang paling kerap dicerobohi oleh kapal pengawal pantai dan penyelidikan China memandangkan kawasan ini kaya dengan sumber minyak dan gas.

Tanpa kehadiran tentera laut AS yang konsisten, Malaysia berdepan cabaran dalam mengekalkan kawalan kawasan maritim sendiri.

Meskipun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meningkatkan rondaan udara dan laut, kemampuan aset kita tidak setanding dengan kebolehan pengawasan berterusan seperti yang dimiliki oleh AS, lagi-lagi sekiranya terpaksa berhadapan dengan China dalam tempoh terdekat.

Sebuah F/A-18F Super Hornet dilancarkan dari dek penerbangan kapal pengangkut USS Nimitz (CVN) (Foto: X US Navy)

Pengimbangan serantau: Siapa mengisi ruang?

Ketiadaan USS Nimitz membuka satu lagi persoalan besar. Sekiranya bukan AS, siapa akan mengimbangi China? AUKUS dan kerjasama trilateral Jepun-Korea Selatan-AS masih terlalu baharu untuk memberi kesan serta-merta. ASEAN pula kekal terpecah antara kepentingan ekonomi dan keselamatan.

Dalam keadaan ini, tidak mustahil kita akan melihat satu bentuk ‘hegemoni maritim senyap’ apabila tindakan agresif China tidak lagi dicabar secara langsung kerana ketiadaan kuasa penyeimbang fizikal.

Malaysia perlu menyedari strategi mempertahankan kedaulatan tidak boleh hanya bergantung kepada hubungan diplomatik. Kehadiran fizikal dalam bentuk kapal, radar, jet, dan perikatan kukuh tetap menjadi tunjang utama.

Penarikan USS Nimitz bukan sekadar soal penempatan semula aset, ia lambang keutamaan strategik AS yang berubah. Namun dalam dunia geopolitik, apabila satu kuasa berundur, akan ada yang mara ke hadapan.

Justeru, sekiranya kita masih leka atau berasa selamat dengan pemergian USS Nimitz dari Laut China Selatan, ketahuilah Malaysia sedang terdedah kepada risiko pencerobohan berskala besar yang mempunyai kepentingan peribadi jauh lebih dahsyat -airtimes.my

#AirTimes #Diskusi #LautChinaSelatan #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply