Home DiskusiKetegangan global: Adakah gencatan senjata, perdamaian dapat dicapai?

Ketegangan global: Adakah gencatan senjata, perdamaian dapat dicapai?

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Dunia global kini berada di ambang kebimbangan, susulan berlakunya peperangan dan persaingan kuasa besar yang berlarutan sejak dekad lalu. Di tengah konflik bersenjata moden di Asia Barat, Afrika dan Eropah Timur, timbul persoalan utama yang menghantui masyarakat antarabangsa: adakah gencatan senjata dan perdamaian benar-benar boleh dicapai?

Di tengah kemusnahan dan penderitaan yang berlarutan, gencatan senjata sering disebut sebagai penyelesaian segera. Namun, sejauh manakah realistiknya harapan ini? Adakah ia sekadar naratif diplomatik yang jarang membawa hasil perdamaian berkekalan?

Situasi semasa seperti perang di Gaza, konflik Rusia-Ukraine, ketegangan Korea Utara-Korea Selatan, serta isu India-Pakistan dan Iran-Israel menjadikan persoalan ini lebih mendesak. Dunia kini dihimpit oleh konflik yang melibatkan kepentingan serantau dan global, dan gencatan senjata menjadi titik harapan yang semakin sukar dicapai.

Mengapa gencatan senjata penting?

Gencatan senjata bukan sekadar jeda taktikal dalam peperangan, malah sering menjadi pemangkin kepada rundingan damai, melindungi nyawa orang awam, serta memberi ruang kepada usaha kemanusiaan dan pemulihan sosial-politik. Tanpa gencatan senjata, kemusnahan terus berlarutan dan peluang untuk penyelesaian jangka panjang semakin pudar.

Dalam konflik yang mencengkam Asia Barat, kestabilan menjadi amat rapuh, jurang diplomatik melebar dan krisis kemanusiaan semakin memburuk. Justeru, perdamaian menjadi harapan terakhir bagi ratusan ribu mangsa konflik yang tersepit di antara peluru dan peluru berpandu.

Lebih jauh, gencatan senjata juga berupaya memberi kesan kepada ekonomi global. Ia menstabilkan pasaran, meredakan ketegangan politik dan memberi ruang kepada suara rakyat untuk menuntut penyelesaian damai.

Namun begitu, usaha itu memerlukan komitmen politik yang tinggi, kesediaan untuk berunding, serta jaminan antarabangsa bagi meredakan ketegangan dan menjamin pelaksanaan.

Soalnya kini, adakah pihak yang bertelagah bersedia untuk membayar harga damai dengan sanggup kehilangan sebahagian tuntutan, berunding dengan musuh, dan mengambil risiko politik?

Antara kekuatan senjata dan diplomasi

Keseimbangan ketenteraan sering kali menjadi faktor penentu dalam kesediaan pihak bertelagah untuk menerima gencatan senjata. Secara teori, apabila kos peperangan melebihi manfaat strategik, kedua-dua pihak mula mempertimbangkan rundingan.

Contoh terdahulu seperti Perjanjian Oslo (Israel-Palestin, 1993) dan Dayton Accords (Bosnia, 1995) menunjukkan bahawa keletihan ketenteraan boleh membawa kepada damai. Namun, konflik semasa seperti di Gaza masih bergantung kepada pengaruh kuasa luar seperti AS, Mesir, Qatar dan PBB.

Dalam perang Rusia-Ukraine pula, hanya apabila tekanan geopolitik memuncak atau sumber kedua-dua pihak menyusut, barulah kemungkinan rundingan lebih realistik.

Halangan: Apa yang menggagalkan damai?

Walaupun sejarah menunjukkan kejayaan gencatan senjata, banyak juga kegagalan yang berpunca daripada beberapa faktor utama.  Pertama, pertembungan ideologi dan agama.

Kedua, ketidakseimbangan kuasa dalam rundingan yang menyebabkan pihak dominan enggan menghentikan pertempuran tanpa keuntungan jelas.

Ketiga, pengaruh kuasa luar sering menjadi penghalang. Dalam konflik proksi seperti di Syria, Yaman dan Ukraine, campur tangan ketenteraan dan kewangan oleh kuasa besar menyemarakkan lagi peperangan. Selagi wujud kepentingan strategik luar, perdamaian sukar dicapai.

Keempat, ketidakpercayaan yang mendalam antara pihak bertikai menyebabkan setiap perjanjian rapuh. Tanpa mekanisme pemantauan dan keikhlasan politik, gencatan senjata mudah runtuh. Sebahagian besar kegagalan perjanjian damai berpunca daripada kegagalan melibatkan semua pihak, termasuk kumpulan kecil atau militia.

Selain itu, faktor emosi seperti dendam sejarah dan trauma kolektif turut menyukarkan proses perdamaian. Emosi ini sering dimanipulasi oleh pemimpin populis untuk menolak sebarang bentuk kompromi.

Menuju Damai: Bolehkah Ia Dicapai?

Meskipun terdapat halangan yang begitu besar, sejarah membuktikan bahawa perdamaian tetap mungkin boleh dicapai dan masih ada ruang harapan. Hal ini,ia memerlukan tekanan kolektif antarabangsa, diplomasi yang inklusif dan kesedaran kemanusiaan sejagat.

Namun, gencatan senjata bukan titik akhir, tetapi ia adalah permulaan kepada proses damai yang lebih panjang, melibatkan pembinaan semula institusi, keadilan dan keselamatan untuk semua pihak.

Walaupun, peluang untuk gencatan senjata adalah tipis namun tidak mustahil, bergantung kepada keseimbangan kuasa, kesediaan politik, tekanan antarabangsa, dan kemahuan rakyat untuk menamatkan konflik.

Persoalannya kini, adakah para pemimpin dunia sanggup mengutamakan nyawa dan masa depan generasi akan datang berbanding dendam sejarah dan kuasa? Atau adakah dunia akan terus terperangkap dalam kitaran peperangan yang tiada penghujung?

Jawapannya masih belum pasti. Tetapi selagi ada keinginan untuk berdamai, harapan itu tidak pernah mati.

Bagaimanapun, negara-negara Asia khususnya Malaysia, sentiasa bersedia dan berpendirian tegas terhadap isu kekejaman serta penderitaan yang sedang berlaku. Meskipun tidak mengalami situasi yang sama, usaha dari negara-negara Asia, walau sekecil mana sekalipun, tetap mampu memberi pengaruh dan menyumbang ke arah tercapainya kedamaian. – airtimes.my

#Airtimes #Konflik #Gencatansenjata #Iran #Israel #Asia #Global

Related Articles

Leave a Reply