Home DiskusiSerangan ke atas loji nuklear Iran: Risiko dan percaturan Israel-AS terhadap Tehran

Serangan ke atas loji nuklear Iran: Risiko dan percaturan Israel-AS terhadap Tehran

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Bayangkan satu letupan besar berlaku di sebuah fasiliti nuklear Iran, bukan sekadar gegaran tetapi pancaran radiasi yang tidak kelihatan, merebak perlahan-lahan ke kawasan penduduk, ladang dan sumber air.

Beginilah mimpi ngeri yang boleh menjadi kenyataan jika serangan ke atas tapak nuklear benar-benar dilakukan dan ketika ini, semua mata tertumpu kepada konflik Iran dan Israel.

Ketegangan geopolitik antara Israel dan Iran bukan sekadar isu wilayah atau ideologi. Ia telah berubah menjadi soal eksistensi khususnya apabila membabitkan program nuklear Iran. Sejak awal 2000-an, Iran telah membangunkan teknologi nuklear yang mendakwa bersifat “aman”, namun menimbulkan kebimbangan besar di kalangan negara Barat, terutama Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel.

Perjanjian Nuklear Iran 2015, atau lebih dikenali sebagai JCPOA (Joint Comprehensive Plan of Action), sepatutnya menjadi titik kompromi. Iran bersetuju mengehadkan aktiviti pengayaan uraniumnya dan membenarkan pemantauan IAEA sebagai balasan kepada pengurangan sekatan ekonomi.

Namun perjanjian itu mula goyah pada 2018 apabila Presiden Donald Trump menarik balik penyertaan AS secara sepihak, lalu mengenakan semula sekatan keras ke atas Iran. Sejak itu, Iran juga mula melanggar had-had perjanjian dan meningkatkan semula pengayaan uranium hingga menghampiri tahap yang diperlukan untuk membina senjata nuklear.

Presiden Donald Trump mengembalikan semula sekatan ke atas Iran, selepas mengumumkan keputusannya untuk menarik AS daripada perjanjian nuklear Iran 2015, di Rumah Putih pada 8 Mei 2018

Bagi Israel, program nuklear Iran bukan sekadar ancaman, ia dianggap ancaman wujud (existential threat). Israel adalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang dipercayai memiliki senjata nuklear, walaupun tidak pernah mengakui secara rasmi. Maka, apabila Iran mula menghampiri keupayaan membina bom nuklear walaupun hanya dari sudut teknikal, Israel melihatnya sebagai satu garis merah yang tidak boleh dilangkaui.

Inilah sebab utama mengapa Israel beberapa kali dikatakan melancarkan serangan siber, sabotaj dan operasi ketenteraan secara rahsia terhadap fasiliti nuklear Iran seperti di Natanz dan Fordow. Tujuannya jelas iaitu mahu melumpuhkan atau melambatkan program nuklear Iran, agar tiada negara lain di rantau Timur Tengah memiliki senjata nuklear, selain Israel.

Kini, Israel dilihat semakin agresif dan bertindak secara membuta-tuli terhadap Iran,  dalam beberapa minggu kebelakangan ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Israel sedang memujuk AS untuk menyertai serangan tentera secara langsung ke atas Tehran. Pegawai tertinggi Israel menyatakan bahawa masa untuk diplomasi telah tamat dan tindakan ketenteraan adalah satu-satunya jalan yang tinggal.

Malah, kenyataan dari Washington juga menunjukkan perubahan nada yang kurang profesional sebagai pemimpin dunia, selain beberapa pegawai AS memberi amaran bahawa jika Iran terus mempercepatkan program nuklearnya termasuk pengayaan hingga ke tahap senjata, AS tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas secara ketenteraan. Ini menunjukkan situasi kini semakin menghampiri titik panas.

Namun begitu, sebarang tindakan menyerang fasiliti nuklear akan memburukkan lagi konflik dan memberi risiko besar terhadap keselamatan serantau. Loji tenaga nuklear bukan sekadar bangunan, ia menyimpan bahan radioaktif yang boleh menyebabkan pencemaran besar jika kawasan penyimpanan mengalami kebocoran akibat letupan.

Tapak fasiliti nuklear Natanz di Iran menjadi antara sasaran serangan udara Israel

Kebocoran radiasi boleh memberi kesan kesihatan jangka panjang seperti kanser, mutasi genetik, dan kemandulan. Alam sekitar dan pertanian juga akan turut lumpuh, manakala penduduk mungkin terpaksa berpindah selama bertahun-tahun.

Tambahan pula, jika bahan radioaktif dibawa angin, negara jiran seperti Iraq, Kuwait, malah sehingga ke Teluk Arab berisiko terjejas. Ini menjadikan serangan seperti itu bukan sahaja isu keselamatan Iran, tetapi juga ancaman rentas sempadan.

Di sisi lain, tindakan Israel ini juga boleh mencetuskan konflik berskala lebih besar. Iran, dengan rangkaian sekutu seperti Hizbullah dan proksi Iran di Iraq dan Syria, mungkin akan membalas dengan serangan peluru berpandu, serangan siber atau bahkan menutup Selat Hormuz iaitu laluan strategik kepada 20 peratus eksport minyak dunia. Malah dunia akan turut menerima kesan melalui kenaikan harga minyak, gangguan bekalan global, dan peningkatan kos sara hidup.

Persoalannya, adakah dunia benar-benar bersedia untuk menghadapi satu lagi krisis nuklear seperti Chernobyl, tetapi kali ini berpunca dari peperangan, bukan bencana teknikal?.

Undang-undang antarabangsa melalui Konvensyen Perlindungan Fasiliti Nuklear dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jelas tidak membenarkan serangan ke atas tapak nuklear yang diawasi IAEA. Jika tindakan ini diteruskan, ia bukan sahaja mencabar kredibiliti sistem antarabangsa, tetapi membuka ruang kepada negara lain menggunakan kekerasan atas nama ‘keselamatan diri’.

Diplomasi dan kawalan senjata kekal sebagai saluran terbaik untuk menangani isu ini. Dunia tidak boleh tunduk kepada logik peperangan preventif semata-mata kerana ketakutan. Kerana dalam usaha mengekang ancaman, kita mungkin sedang mencipta ancaman yang lebih besar.Dan yang paling menakutkan ialah ianya bukan berlaku dalam diam, tetapi di hadapan mata kita semua.-airtimes.my

#Konflik #Iran #Israel #Nuklear #AS #KeselamatanSerantau #JCPOA #SeranganNuklear #Geopolitik #KrisisTimurTengah #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply