Di sebalik tembok sekatan Gaza dan deruan pesawat pengebom rejim Zionis, muncul seorang tokoh tanpa seragam tentera dan tanpa senjata api, namun cukup berbahaya untuk menggugat sistem pertahanan tercanggih milik Israel.
Omar A. seorang anak muda Palestin yang sebelum ini tidak dikenali dunia, menjadi tumpuan apabila berjaya menembusi sistem pertahanan udara Israel, Iron Dome iaitu sistem yang selama ini dianggap kebal oleh Tel Aviv.
Daripada pelajar kepada sasaran antarabangsa
Jika dilihat daripada laporan media Daily Sabah yang memetik keterangan operasi perisikan MIT, Omar merupakan graduan Sains Komputer dari Universiti Islam Gaza. Beliau dikenali sebagai antara individu penting dalam pembangunan perisian siber untuk Kementerian Dalam Negeri Gaza.
Perisian yang dibangunkannya dilaporkan mampu menggodam telefon pintar Android serta mengakses data sensitif dari jarak jauh. Teknologi ini dipercayai digunakan dalam operasi pengintipan dan penjejakan sasaran.

Mossad, agensi perisikan Israel dikatakan salah satu daripada yang terbaik di dunia cuba untuk mengesan Omar yang dianggap sebagai orang paling dikehendaki oleh Israel. Foto X: Defence Index
Namun, pencapaian paling luar biasa Omar ialah kejayaannya menembusi Iron Dome merupakan satu tindakan yang dianggap hampir mustahil oleh penganalisis ketenteraan antarabangsa. Kejayaan ini bukan sahaja mendedahkan kelemahan sistem keselamatan Israel, malah menyebabkan beliau diburu oleh agensi perisikan paling digeruni rejim Zionis, Mossad.
Gagalnya Iron Dome
Antara tahun 2015 dan 2016, Omar dipercayai memainkan peranan penting dalam membantu Briged Izzuddin al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, melancarkan roket ke arah wilayah Israel. Dalam insiden-insiden tersebut, peluru berpandu berjaya menembusi sistem Iron Dome dan mengenai sasaran.
Laporan mendakwa sistem pertahanan Israel telah dikelirukan melalui manipulasi radar dan algoritma pelancaran, sekaligus mengurangkan kecekapan tindak balas sistem tersebut.

Iron Dome, sistem pertahanan udara kebanggaan Israel, akhirnya berjaya ditembusi oleh kod dan algoritma ciptaan Omar A., membuka ruang kepada roket Palestin mengena sasaran. Foto X: Sankalan Chattopadhyay
Selepas tiga tahun penyiasatan, Israel akhirnya mengenal pasti Omar sebagai individu yang dipercayai bertanggungjawab terhadap pencerobohan siber tersebut.
Operasi Mossad digagalkan MIT

Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Türkiye (MIT) yang kini menjadi antara pemain utama dalam medan risikan global ketika MIT berjaya menggagalkan operasi penculikan Mossad terhadap penggodam Gaza, Omar A., di Malaysia. Foto X: Babak Taghvaee
Cubaan Mossad untuk menculik Omar bermula sejak 2019. Ketika itu, beliau ditawarkan pekerjaan oleh sebuah syarikat berpangkalan di Norway. Namun, tawaran itu ditolak kerana disyaki berkaitan dengan Israel.
Pada tahun 2020, ketika Omar A. menetap di Istanbul, usaha Mossad untuk menjejaki dan memerangkapnya semakin giat. Beberapa ejen dihantar, menyamar sebagai pengurus syarikat luar negara bagi mendekati dan memenangi kepercayaannya.
Pada Jun 2022, ejen Mossad sekali lagi menawarkan pekerjaan di luar negara. Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Turkiye (MIT) yang memantau aktiviti tersebut segera memberi amaran kepada Omar agar tidak meninggalkan negara itu.
Namun, pada penghujung 2023, Omar diculik ketika bercuti di Malaysia dan dibawa ke sebuah kabin terpencil. Beliau disoal siasat oleh ejen tempatan yang berkhidmat untuk Mossad, dengan pemantauan langsung dari Tel Aviv melalui panggilan video.
MIT, yang telah memasang alat pengesan rahsia pada telefon milik Omar, berjaya mengesan lokasi tersebut dan memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia. Hasil kerjasama dua hala, pasukan keselamatan negara berjaya menyerbu lokasi berkenaan, menyelamatkan Omar dan menahan 11 suspek yang terlibat.

Kerjasama antara MIT dan pihak berkuasa Malaysia berjaya menggagalkan cubaan penculikan Omar oleh Mossad, sekali gus memperlihatkan keberkesanan perisikan Turkiye dalam menangkis pengaruh asing. Foto: Bernama
Insiden ini sekali gus mencetuskan semula perbahasan mengenai pengaruh operasi perisikan asing di Asia Tenggara, di samping mengukuhkan kedudukan MIT sebagai agensi perisikan yang tegas dalam membanteras pengaruh Israel terhadap aset strategik Palestin.
Dari papan kekunci ke medan perjuangan
Kisah Omar A. melambangkan perubahan wajah perjuangan Palestin. Jika dahulu generasi muda bangkit dengan batu dan bom molotov, kini mereka memilih kod, virus perisian dan teknik penggodaman sebagai senjata melawan penjajahan.
Di sebalik sekatan dan kekurangan sumber, muncul seorang anak muda yang menjadikan papan kekunci sebagai senjata paling berbahaya dalam konflik Timur Tengah. Keupayaan teknologinya tidak hanya merentasi sempadan fizikal, tetapi juga menggugat keyakinan terhadap sistem pertahanan sebuah negara berdaulat.
Bagi Israel, ini bukan sekadar isu keselamatan siber tetapi ia merupakan tamparan terhadap imej ketenteraan mereka yang selama ini dikatakan kebal. Iron Dome, yang kononnya tidak dapat ditembusi, akhirnya tewas di tangan seorang pemuda dari Gaza.

Dalam dunia peperangan moden, papan kekunci menjadi senjata yang berbahaya dan bagi Omar A., sebaris kod boleh lebih berbisa daripada sebutir peluru. Foto: IstockPhoto
Perang baharu kuasa siber
Konflik Palestin-Israel kini memasuki fasa baharu. Daripada jaringan terowong bawah tanah ke peluru berpandu jarak jauh, kini medan siber muncul sebagai ruang yang semakin strategik.
Pendedahan mengenai peranan MIT dalam menyelamatkan Omar telah meningkatkan ketegangan antara Ankara dan Tel Aviv. Walaupun kedua-dua negara mempunyai hubungan diplomatik, mereka sering bertentangan pendapat dalam isu Palestin.
Pemerhati menjangkakan Israel mungkin bertindak balas secara lebih agresif, termasuk melalui operasi rahsia berskala besar, tekanan diplomatik mahupun sekatan terhadap negara-negara yang memberi perlindungan kepada rakyat Palestin yang berprofil tinggi.
Daripada medan tempur Gaza hingga ke bilik kawalan siber, kisah Omar A. menjadi simbol keupayaan intelektual generasi baharu Palestin. Mereka tidak gentar pada peluru, tidak tunduk pada sekatan, dan tidak takut untuk mencabar teknologi tercanggih dunia.
Dalam perang moden yang tidak lagi mengenal sempadan, satu baris kod mampu menjadi lebih berkuasa daripada sebutir peluru.-airtimes.my
#AirTimes #Siber #Gaza #Palestin #Israel #IronDome #Mossad #MIT #Malaysia #PeperanganModen