MOSCOW, 18 DIS – Panglima yang bertanggungjawab ke atas Pasukan Nuklear, Biologi dan Kimia Rusia, Leftenan Jeneral Igor Kirilov dilaporkan terbunuh dalam serangan pasukan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) pada Selasa.
Pembunuhan terhadap Kirilov berlaku apabila bom meletup di dalam skuter elektrik ketika beliau meninggalkan sebuah bangunan perumahan di Moscow, Rusia.
Jawatankuasa penyiasat Rusia memaklumkan, pengeboman yang dilakukan Ukraine itu turut mengorbankan pembantu kepada Kirilov.
Agensi berita TASS Rusia melaporkan, memetik daripada seorang pegawai penguatkuasa undang-undang berkata, alat letupan itu mempunyai kapasiti kira-kira 300 gram bahan kimia.

Leftenan Jeneral Igor Kirilov terbunuh dalam serangan pasukan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) (Foto:BBC News)
“Pasukan penyiasat Rusia telah membuka kes jenayah ke atas pembunuhan dua anggota tentera manakala satu lagi kes keganasan berhubung pembunuhan Kirilov ini mungkin akan dibuka,” katanya.
Dalam masa sama, SBU memberitahu Al Jazeera bahawa mereka bertanggungjawab atas pengeboman Kirilov dan menyifatkan serangan ke atas panglima itu adalah sasaran yang sah.
Sehari sebelum pengeboman itu, pendakwa raya Ukraine dilaporkan telah mendakwa Kirillov dengan dakwaan menggunakan senjata kimia terlarang.
SBU berkata ia telah merekodkan lebih 4,800 kes senjata kimia digunakan di medan perang sejak Februari 2022. -airtimes.my
#Rusia #Ukraine #nuklear #SBU #perang #airtimes