if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Diskusi Konflik India-Pakistan: Risiko perang nuklear dan kesan terhadap global

Konflik India-Pakistan: Risiko perang nuklear dan kesan terhadap global

by Zulhaizi Rosdi

Bayangkan dua negara jiran, masing-masing memiliki senjata nuklear, terperangkap dalam konflik berterusan di sempadan Kashmir yang tidak berkesudahan. Sejak 1947, India dan Pakistan tidak pernah benar-benar berdamai, malah dua kuasa besar di Asia Selatan ini telah melalui tiga peperangan besar sejak kemerdakaan mereka.

Dalam landskap geopolitik serantau yang semakin rapuh, sebarang percikan kecil boleh mencetuskan konflik yang lebih besar.

Persoalannya kini, apakah kesan terhadap dunia termasuk Malaysia jika dua kuasa nuklear ini kembali berperang?

Melihat kepada sejarah, kebanyakan punca utama konflik antara kedua-dua negara adalah isu perebutan wilayah Kashmir. Wilayah bergunung-ganang yang terletak di utara benua kecil India ini telah menjadi titik panas sejak lebih tujuh dekad lalu. Selepas pemisahan British India, Maharaja Kashmir ketika itu memilih untuk menyertai India, menyebabkan Pakistan menentang keputusan tersebut.

Sejak itu, wilayah ini kekal menjadi simbol ketegangan, malah telah mencetuskan peperangan besar pada tahun 1947, 1965 dan 1999. Selain itu, beberapa siri pertempuran kecil dan serangan rentas sempadan kerap berlaku sehingga ke hari ini.

Salah satu insiden paling mencemaskan berlaku pada Februari 2019 lalu apabila serangan pengganas ke atas pasukan keselamatan India di Pulwama mengorbankan lebih 40 anggota tentera. India bertindak balas dengan melancarkan serangan udara ke wilayah Balakot di Pakistan. Pakistan pula membalas dengan menembak jatuh pesawat pejuang India dan menawan juruterbangnya.

Dunia ketika itu memerhati dengan rasa bimbang sekiranya ketegangan antara kedua negara ini boleh menjadi titik mula kepada perang nuklear. Tidak dapat dinafikan bahawa konflik antara India dan Pakistan bukan lagi sekadar isu serantau. Kedua-dua negara kini mempunyai senjata nuklear dengan anggaran lebih 150 hulu ledak nuklear.

Dalam sebarang konflik bersenjata, risiko penggunaan senjata nuklear sama ada secara taktikal atau strategik tidak boleh diabaikan. Menurut beberapa kajian keselamatan antarabangsa, perang nuklear berskala kecil antara dua negara ini mampu mengorbankan ratusan juta nyawa dan menjejaskan kestabilan iklim serta hasil pertanian di seluruh dunia.

Ini boleh membawa kepada “musim sejuk nuklear” yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan ekonomi global secara keseluruhan. Dalam tempoh beberapa tahun, dunia boleh berdepan krisis makanan, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan sosial secara menyeluruh.

Selain risiko ketenteraan dan kemanusiaan, konflik India-Pakistan juga membawa kesan langsung terhadap ekonomi dan politik global. Asia Selatan ialah salah satu kawasan paling padat dengan penduduk di dunia, serta menjadi kawasan yang semakin penting dan strategik kepada ekonomi global. Ketegangan di rantau ini bukan sahaja boleh mengganggu pelaburan asing, malah akan menjejaskan kestabilan pasaran serantau.

Pelabuhan penting seperti Gwadar di Pakistan dan rangkaian jalan perdagangan antara Asia Selatan dan Tengah juga mungkin terkesan secara langsung. Konflik antara India dan Pakistan turut diperhatikan rapat oleh kuasa besar dunia. Amerika Syarikat (AS), yang menjalinkan kerjasama strategik dengan India dalam kerangka Indo-Pasifik, cenderung menyokong New Delhi.

Manakala Pakistan pula mempunyai hubungan erat dengan China menerusi projek Laluan Ekonomi China-Pakistan (CPEC) dan kerjasama ketenteraan. Rusia pula, walaupun secara tradisi lebih hampir dengan India, turut menunjukkan minat memperkukuh hubungan dengan Pakistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Percaturan geopolitik kuasa besar di sebalik konflik ini menambahkan lagi kerumitan dan risiko terhadap pertikaian antara dua negara.

Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam konflik ini, namun tetap tidak terkecuali daripada menerima kesannya. Tambahan pula, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang aktif dengan kedua-dua negara.

Jika perang tercetus, rantaian bekalan dari Asia Selatan boleh terganggu, termasuk barangan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan mentah selain harga barang import juga berkemungkinan meningkat.

Di samping itu, Malaysia juga merupakan rumah kepada komuniti diaspora besar dari India dan Pakistan. Ketegangan luar negara boleh memberi kesan kepada hubungan antara komuniti jika tidak ditangani dengan cermat dan berhemah.

Dari sudut diplomasi pula, Malaysia perlu mengambil pendirian seimbang dalam menyuarakan keprihatinan, tanpa dilihat memihak kepada mana-mana pihak.  Konflik ini turut memberi kesan kepada landskap keselamatan serantau. Ketegangan antara dua negara nuklear boleh mendorong negara-negara lain di rantau ini seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Australia untuk menilai semula strategi ketenteraan dan keselamatan masing-masing.

Dalam konteks ASEAN, kestabilan serantau mungkin terjejas jika konflik berlarutan atau merebak secara tidak langsung. Malaysia, sebagai negara yang terletak di tengah laluan perdagangan utama dunia, perlu memantau perkembangan ini dengan teliti dan menguatkan kesiapsiagaan strategik. Walaupun sudah banyak usaha dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa-kuasa besar untuk mendamaikan India dan Pakistan, isu Kashmir masih jauh daripada penyelesaian.

Ini bukan lagi semata-mata melibatkan pertikaian wilayah, tetapi juga melibatkan identiti nasional, sentimen agama, dan sejarah panjang penjajahan. Selagi tiada penyelesaian diplomatik yang adil dan berkesan, konflik ini akan terus menjadi ancaman laten yang boleh meletus pada bila-bila masa.

Meskipun ancaman perang nuklear sukar dibayangkan, ia bukan lagi satu kemungkinan yang boleh diketepikan. Sebarang percikan di sempadan Kashmir boleh menjadi nyalaan yang bukan sahaja boleh menggoncang Asia Selatan, tetapi seluruh dunia.

Justeru, pendekatan diplomasi pencegahan dan sokongan terhadap rundingan damai perlu menjadi keutamaan komuniti antarabangsa.

Negara seperti Malaysia juga boleh memainkan peranan sebagai suara sederhana yang menyeru keamanan dan kestabilan, khususnya dalam forum serantau dan antarabangsa. Akhirnya, konflik antara India dan Pakistan bukan sekadar perselisihan dua negara jiran. Ia adalah ancaman nyata kepada keselamatan global. Dunia tidak mampu mengambil risiko perang nuklear yang kesannya jauh melangkaui sempadan politik.

Maka, setiap tindakan perlu dilakukan dengan berhati-hati, setiap suara diplomasi perlu diperkukuh, dan setiap peluang damai perlu dimanfaatkan sebelum segalanya menjadi terlalu lewat.

#konflik #IndiaPakistan #Kashmir #senjatanuklear #pertahanan #keselamatanantarabangsa #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply