ISLAMABAD, 7 MEI – Pakistan menyatakan kesediaan untuk ‘menamatkan’ ketegangan dengan India sekiranya New Delhi menghentikan tindakan ketenteraannya, kata Menteri Pertahanan Khawaja Asif.
“Kami tidak akan memulakan sebarang tindakan bermusuhan terhadap India. Tetapi jika kami diserang, kami akan bertindak balas. Jika India berundur, kami pasti akan menamatkan ketegangan ini,” katanya dalam temubual bersama Bloomberg Television.
Beliau berkata demikian, menegaskan pasukan pasukan pertahanan negara berada dalam keadaaan bersedia, namun juga sanggup menunjukkan sikap menahan diri jika India menghentikan kem ketenteraannya.
Mengenai kemungkinan rundingan, menteri itu berkata beliau tidak mengetahui sebarang usaha ke arah itu pada masa ini.
“Terdapat laporan bahawa India mungkin melancarkan serangan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC). Jika itu berlaku, New Delhi akan diberikan jawapan yang setimpal,” ujarnya dalam sidang media di Islamabad, seperti dilaporkan oleh PTI.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menyeru agar siasatan antarabangsa dijalankan terhadap serangan di Pahalgam, kata Asif.
“Siasatan sebegini akan mendedahkan sama ada India sendiri atau mana-mana kumpulan dalaman terlibat, dan akan menjelaskan kebenaran di sebalik dakwaan tidak berasas New Delhi,” tambah Asif.
Kenyataan itu dibuat susulan serangan peluru berpandu oleh India ke atas sembilan sasaran pengganas di Pakistan dan Kashmir yang diduduki Pakistan sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas di Pahalgam.
Sementara itu, India mengambil beberapa tindakan tegas terhadap Pakistan termasuk penggantungan Perjanjian Air Indus, penutupan satu-satunya lintasan sempadan darat yang beroperasi di Attari dan penurunan taraf hubungan diplomatik.
Terdahulu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menegaskan bahawa negaranya bertindak dengan “tegas dan muktamad” terhadap pengganas dan mana-mana pihak yang memberikan sokongan kepada mereka.
Modi turut memberi “kebebasan operasi sepenuhnya” kepada kepimpinan tertinggi pertahanan negara untuk menentukan kaedah, masa dan sasaran bagi tindak balas terhadap serangan di Pahalgam. -airtimes.my
#AirTimes #India #Pakistan