MINOT, 4 JUN – Amerika Syarikat melangkah ke fasa penting dalam usaha memodenkan keupayaan peluru berpandu nuklearnya.
Terbaharu, Pangkalan Tentera Udara Minot kini bersiap sedia untuk mengoperasikan sistem peluru berpandu generasi baharu, Sentinel. Peluru berpandu antara benua (ICBM) tersebut akan menggantikan peranan Minuteman III yang telah berkhidmat sejak era Perang Dingin.
Sistem LGM-35A Sentinel merupakan komponen utama dalam rancangan menyeluruh Amerika Syarikat dalam menghadapi cabaran keselamatan global semasa. Ia dijangka menggantikan lebih 400 peluru berpandu Minuteman III yang kini beroperasi di tiga pangkalan utama benua Amerika.
Menurut Komander Air Force Global Strike Command (AFGSC), Jeneral Thomas A. Bussiere, peralihan daripada Minuteman III ke Sentinel memerlukan perancangan teliti yang merangkumi persediaan teknikal, kejuruteraan dan operasi di semua peringkat.
“Pangkalan ini adalah pusat graviti kepada angkatan udara dan pertahanan AS,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan, Tentera Udara Amerika Syarikat mengaktifkan Detasmen 12 Pasukan Tugas Pengaktifan Tapak Sentinel (SATAF) di Minot.
Detasmen telah diaktifkan secara rasmi pada 21 Mei lalu sebagai pemacu awal bagi kerja-kerja penyediaan dan peralihan infrastruktur.
Selain Minot, dua lagi pangkalan strategik iaitu F.E. Warren AFB di Wyoming dan Malmstrom AFB di Montana turut terlibat dalam fasa awal program ini.
Ketiga-tiga pangkalan menjadi tulang belakang kepada ketumbukan peluru berpandu nuklear darat Amerika.
Modenisasi sistem ICBM ini dijangka memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelebihan strategik Amerika Syarikat. Ini terutamanya dalam konteks persaingan kuasa besar dan ketidaktentuan global yang tidak menentu. – airtimes.my