SUBANG, 1 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima sumbangan 10,000 topeng muka daripada Syarikat Rohde & Schwarz bagi kegunaan petugas barisan hadapan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua penguatkuasaanya.
TUDM dalam kenyataan berkata, sumbangan itu telah disampaikan oleh Pengarah Urusan, Lee Choun Yu kepada Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral, Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara hari ini, di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.
“10,000 topeng muka diserahkan untuk kegunaan anggota TUDM yang terlibat dalam Op PENAWAR sepanjang tempoh PKP, ” jelas TUDM.
Menurut TUDM, sumbangan topeng muka tersebut kemudiannya diserahkan kepada Komander Depoh Material Udara (DMU), Kol Ahmad Nazri Nayan TUDM untuk diagihkan kepada unit-unit TUDM yang berkenaan.
“TUDM menghargai sumbangan dari pelbagai sektor terutama korporat yang membantu dalam usaha kerajaan dalam meningkatkan penguatkuasaan PKP fasa kedua ini,
“Sumbangan yang diberikan ini turut membantu dalam menjaga kesihatan anggota-anggota barisan hadapan sebagai langkah pencegahan ketika mereka menjalankan tugas,” jelas kenyataan itu.
Turut hadir, Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Felix Gonsalvez Alexander TUDM dan Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Omar Dawawi TUDM.