Home SemasaFatwa sesat: SIS menang rayuan di Mahkamah Persekutuan

Fatwa sesat: SIS menang rayuan di Mahkamah Persekutuan

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 19 JUN – Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS Forum) Malaysia berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini diketepikan, serta membenarkan rayuan perayu berkaitan pemakaian fatwa kepada pertubuhan dan institusi.

Tengku Maimun berkata, keputusan majoriti 3-1 itu, hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan (perintah ini terperinci adalah sebagaimana dinyatakan dalam alasan penuh penghakiman).

Terdahulu, pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak permohonan mereka bagi membatalkan fatwa berkenaan.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, memutuskan bahawa fatwa tersebut bukan keputusan muktamad, dan tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Sebelum itu, Mahkmah Tinggi pada 27 Ogos 2019 turut menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SIS Forum dan Zainah Mahfoozah Anwar.

Fatwa yang diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, serta mana-mana individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga diminta untuk menapis laman sesawang sosial yang didapati bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM), menyatakan sokongan penuh terhadap SIS dalam memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan gender dan kebebasan bersuara di negara ini.

Related Articles

Leave a Reply