KUALA LUMPUR, 19 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia melaksanakan operasi memindahkan rakyat Malaysia di Tehran, Iran susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan bagi tujuan itu daripada kerajaan, khususnya Kementerian Luar.
“Kita belum ada terima apa-apa arahan. Biasanya ia dikelola oleh Kementerian Luar. Bagaimana cara dan segalanya, saya percaya mereka (Wisma Putra) sudah memikirkan sebab tak semua kapal terbang boleh masuk (Tehran),
“Kita bersedia menerima apa-apa arahan daripada kerajaan, jika ada apa-apa keputusan terbaru dibuat. Keputusan ini dibuat dan biasanya diuruskan oleh Kementerian Luar,
“Kalau ada pun, mengenai itu, Wisma Putra akan usahakan dan tak semestinya melalui tentera. Kerana dalam konteks sekarang, kapal terbang tentera adalah lebih baik tak masuk (Iran) sebab nanti mereka (Israel dan Amerika Syarikat (AS)) ingat tentera (Malaysia) datang nak bantu. Perkara itu akan diselaraskan kementerian luar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59 di Wisma Perwira Angkata Tentera Malaysia (ATM), hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta Pengerusi Koperasi Tentera Leftenan, Jeneral Datuk Zaidan Atan.
Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 7.1 peratus bagi tahun kewangan 2024 dengan jumlah agihan RM125.3 juta kepada 155,678 anggotanya.
Mengulas mengenai keselamatan anggota MALBATT di Lubnan berikutan ketegangan di Timur Tengah, beliau memberi jaminan bahawa kedudukan mereka masih berada dalam zon selamat.
“Kedudukan mereka jauh, tapi apa pun kita sentiasa ada hubungan berterusan dan kalau ada apa-apa, kita akan maklumkan dan ambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.
Pagi tadi, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seramai 15 rakyat Malaysia dan seorang warga Singapura bersedia untuk dipindahkan menerusi operasi membawa pulang mereka dari negara itu.
Beliau berkata, semua mereka itu terdiri daripada 12 rakyat Malaysia serta seorang pemastautin tetap (PR) Malaysia, dua pasangan warga Iran dan seorang warga Singapura.
Usaha membawa pulang ini dilakukan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat di rantau Asia Barat, khususnya selepas beberapa siri serangan rentas sempadan dan tekanan diplomatik yang melibatkan Iran, Israel dan sekutu-sekutunya.
Menurut Wisma Putra, situasi semasa di Tehran adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.
Ketegangan terus memuncak di Tehran dan Tel Aviv di Israel selepas kedua-dua pihak saling berbalas serangan yang kini sudah memasuki hari ke tujuh, dengan angka kematian dilaporkan di kedua-dua negara sudah melebihi 500 orang. -airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #Iran #Malbatt #airtimes
