JAKARTA, 10 MEI – Rakyat Indonesia didakwa dijadikan ‘tikus makmal’ dalam ujian vaksin tuberkulosis (TBC) tajaan Bill & Melinda Gates Foundation, selepas negara itu menjadi lokasi utama bagi uji klinikal fasa tiga vaksin M72/AS01E yang dilakukan secara besar-besaran.
Vaksin tersebut kini sedang diuji ke atas ribuan sukarelawan di beberapa wilayah Indonesia, termasuk di Jawa Barat. Ia sekali gus menjadikan negara itu antara penerima terbesar suntikan sejak program bermula pada penghujung 2024.
Mengulas lanjut, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika mengulas perkara ini berkata, penyertaan Indonesia dalam kajian ini bukanlah satu bentuk eksploitasi terhadap rakyat.
Sebaliknya, menurut beliau, Indonesia dipilih kerana beban penyakit TBC yang tinggi, dengan hampir 100 ribu kematian dicatatkan setiap tahun akibat jangkitan berkenaan.
“Beliau (Bill Gates) sedang kembangkan vaksin TBC untuk dunia, tapi Indonesia akan menjadi salah satu tempat yang akan dijadikan lokasi utama pengujian,” katanya seperti dilapor media Indonesia.
Tambahnya lagi, dengan kadar jangkitan TBC yang tinggi direkodkan setiap tahun, adalah penting untuk Indonesia terlibat secara langsung dalam pembangunan vaksin agar tidak hanya bergantung pada teknologi luar.
“Indonesia tidak mahu sekadar menjadi pengguna vaksin asing tanpa memahami kesesuaiannya kepada rakyat tempatan,” jelas beliau.
Selain Indonesia, vaksin berkenaan turut diuji di Kenya dan Afrika Selatan, menurut laporan Clinical Trails Arena.
Dalam kenyataan berbeza, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin turut menafikan dakwaan rakyat negara berkenaan dijadikan bahan uji kaji secara sewenang-wenangnya.
“Ini bukan soal rakyat dijadikan “tikus makmal”. Vaksin M72 sudah lulus tahap keselamatan dan kini kita menguji keberkesanan dalam populasi sebenar. Semua peserta telah melalui proses persetujuan (informed consent),
“Sama seperti (vaksin) Covid, ada ujian klinikal fasa satu, selamat atau tidak. Fasa dua, diuji pada manusia, selamat atau tidak. Fasa tiga, menilai keberkesanannya, berapa peratus yang sembuh selepas diberi vaksin?
“Indonesia kini menjadi lokasi bagi ujian klinikal fasa tiga dan ia sedang berjalan,” katanya dalam satu sidang media lapor media Indonesia.
Tegasnya, keberkesanan vaksin TBC yang diuji di Indonesia akan dinilai terlebih dahulu para penyelidik sebelum dilancarkan secara meluas di peringkat global.
“Kita harap sebelum tahun 2029, ia dapat digunakan secara normal di seluruh dunia, bukan di Indonesia sahaja,
“Kita ingin memastikan rakyat Indonesia memiliki akses kepada vaksin yang berkesan dan selamat. Kalau kita tidak ikut dari awal, kita hanya akan tunggu dan beli dengan harga yang lebih mahal,” tambahnya.
Untuk rekod, Indonesia merupakan salah satu negara dengan beban TBC tertinggi, mencatat sekitar 1 juta rakyat tempatan dijangkiti setiap tahun dengan seorang pesakit TBC direkodkan meninggal dunia setiap empat minit.
Malah, keterlibatan Bill Gates dalam projek vaksin ini bukanlah perkara baru memandangkan organisasi beliau telah menyalurkan lebih RM680 juta (USD 159 juta) kepada Indonesia dalam pelbagai inisiatif kesihatan awam sejak 2009.
Walau bagaimanapun, kajian fasa ketiga ini dianggap langkah kritikal dalam menentukan sama ada vaksin tersebut mampu mengurangkan jangkitan aktif TBC dalam populasi dewasa yang telah terdedah kepada bakteria penyebab TBC mahupun tidak. -airtimes.my
#Indonesia #Tikusmakmal #Vaksin #BillGates #Global