PUTRAJAYA, 10 Mei – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan isu berkaitan kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) secara rundingan.
Perkara itu dimuktamadkan dalam satu pertemuan rasmi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg bersama barisan kepemimpinan tertinggi PETRONAS dan PETROS di Perdana Putra, pada Jumaat.
Menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri, ia memaklumkan langkah itu penting dalam memastikan potensi besar yang dikenal pasti daripada kerjasama antara dua entiti berkenaan dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN,
“Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan,” jelas PMO lagi.
Dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang telah dipersetujui sebelum ini bagi mempermudah rundingan antara dua entiti tenaga itu.
Pada 4 Mei lalu, Anwar memberi jaminan isu PETRONAS dan PETROS akan dimuktamadkan segera sebaik sahaja Abang Johari kembali dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom.
Kerajaan Sarawak sebelum ini mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat PETRONAS, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.-airtimes.my
#semasa #airtimes #Malaysia #Anwar #AbangJohari #Sarawak