KUALA LUMPUR, 7 MEI – Malaysia Airlines Berhad (MAB) memaklumkan, laluan dua penerbangannya dilencongkan ke Eropah susulan penutupan ruang udara Pakistan, selain menggantung sementara penerbangan ke dan dari Amritsar, India.
“Susulan penutupan Lapangan Terbang Amritsar (ATQ) dari 7 hingga 9 Mei 2025, semua penerbangan ke dan dari lokasi itu turut digantung sehingga tarikh tersebut,” jelas Malaysia Airlines, berikutan situasi keselamatan yang tidak menentu di rantau berkenaan.
MAB turut menyatakan lagi, penumpang yang terlibat dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan masing-masing dan mengikuti saluran rasmi syarikat, bagi mendapatkan maklumat terkini.
Sehubungan itu, MAB juga sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan anak kapal serta mengambil langkah berjaga-jaga secara berterusan.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan penerbangan MH2 ke London Heathrow dan MH22 ke Paris Charles de Gaulle yang berlepas pada 6 Mei lalu telah diarahkan untuk mengisi minyak di Doha, Qatar sebelum meneruskan perjalanan masing-masing ke destinasi akhir.
Sementara itu, beberapa syarikat penerbangan Asia, antara terlibat termasuk EVA Air, Thai Airways, Vietnam Airlines dan China Airlines, turut membatalkan penerbangan ke dan dari Eropah susulan konflik bersenjata yang semakin memuncak antara India dan Pakistan. -airtimes.my
#AirTimes #MAB #Asia #India #Pakistan