if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tiada undangan, tiada rayuan: Hanya yang cekal akan berjaya

Tiada undangan, tiada rayuan: Hanya yang cekal akan berjaya

by Zulfadhli Azmie

Tidak semua yang menyarung uniform tentera mampu menggalas cabaran menjadi seorang komando.

Di sebalik beret hijau yang tampak gah di kepala anggota Gerup Gerak Khas (GGK), tersembunyi kisah getir dan ujian luar biasa yang hanya mampu dilalui oleh mereka yang benar-benar kental, cekal dan berjiwa besi.

Kursus Asas Komando anjuran Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) bukan sekadar latihan fizikal. Ia adalah medan pemisah antara biasa dan luar biasa, antara yang ingin mencuba dan yang benar-benar layak.

Komandan PULPAK, Kolonel Mohd Rizal Mohd Zambran berkata, hanya sekitar 15 hingga 30 peratus daripada 200 peserta yang menyertai kursus ini setiap tahun berjaya menamatkannya.

Komandan PULPAK, Kolonel Mohd Rizal Mohd Zambran mengiringi Panglima Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Ahmad Suhaimi menyempurnakan uapcara penganugerahan beret kepada anggota yang lulus Kursus Asas Komando AK/1/25. Foto: AirTimes:N.Huda

Tahun ini, peratusan itu lebih rendah iaitu hanya 18 peratus lulus, mencerminkan betapa tinggi tahap piawaian dan tuntutan kursus tersebut.

“Kami masih kekalkan tahap kualiti yang tinggi kerana ini adalah selection course untuk 21 Gerup Gerak Khas,

“Mereka yang lulus pun bukan terus selesai, mereka akan jalani lagi kursus asas kepakaran dan persiapan lain sebelum ditugaskan dalam operasi sebenar,” katanya kepada Air Times selepas Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2025 di Taiping, baru-baru ini.

Azab yang menjadi kebanggaan

Kursus yang dilaksanakan dalam tempoh 3 purnama ini mempunyai pelbagai fasa dan peringkat untuk menguji kekuatan fizikal serta mental penuntut.

Apa yang pasti, cabaran ini akan menentukan sama ada seseorang peserta kurus asas komando benar-benar layak untuk dianugerahkan Beret Hijau, Lanyard Biru dan Pisau Komando.

Setiap hari adalah ujian — bukan sahaja pada kekuatan tubuh, tetapi juga keutuhan jiwa.

Ada yang tersungkur selepas beberapa hari. Ada yang bertahan hingga ke minggu akhir, tetapi kecundang saat terakhir. Hanya yang benar-benar bersedia dari segala aspek akan sampai ke garisan penamat.

Sebagai pasukan khusus ATM, anggota GGK perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang tinggi ketika melakukan operasi. Foto: AirTimes:Zul Fadhli

Mengulas lanjut, Mohd Rizal berkata, aspek fizikal dan mental merupakan aspek yang sangat penting dalam mengharungi cabaran 3 purnama berkenaan.

“Pada mula yang melapor (kursus) 200 orang, dan hari ini yang lulus hanya 3 pegawai dan 35 anggota dengan 18 kadar peratus,

“Jadi, hanya mereka yang mempunyai ketahanan mental, fizikal dan disiplin yang sangat tinggi. Dan mereka yang benar-benar layak sahaja akan dianugerahkan Beret Hijau Komando,” ujarnya lagi.

Kata-kata azimat di gerbang komando

‘Datangmu tidak diundang, jika ragu sila pulang’. Bagi sesetengah orang, ia hanya frasa. Namun bagi mereka yang melangkah masuk, ia adalah sumpah tidak bertulis.

Kata-kata azimat yang terpapar di pintu gerbang kem GGK. Foto: AirTimes

Ia adalah isyarat bahawa tiada siapa akan dipaksa — tetapi jika memilih untuk terus mara, jalan ke hadapan dipenuhi duri, bukan pujian.

“Kata-kata ini terpampang di setiap pintu masuk unit-unit dalam GGK. Kata-kata azimat ini bermaksud kami tidak memaksa mana-mana pegawai atau anggota untuk menyertai 21 GGK,

“Walau bagaimanapun, hanya yang betul-betul tabah ataupun cekal yang layak menyertai 21 GGK. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,

“Satu kata-kata azimat kepada setiap anggota yang ingin menyertai 21 GGK,” jelasnya.

Lapangan Terbang Tekah jadi pilihan

Mengulas lanjut, Mohd Rizal memaklumkan, pihaknya turut membuat pendekatan yang baharu dengan mengadakan majlis penutup kursus yang kebiasaannya diadakan di Kem Sungai Udang, Melaka untuk diadakan di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.

“Ini adalah sebahagian usaha kami untuk menarik minat orang awam dan mengukuhkan silaturahim dengan para veteran Gerak Khas dari seluruh negara,” jelas Mohd Rizal.

Veteran GGK tampil memeriahkan upacara penutup Kursus Asas Komando kali ini, menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi serta menyemai semangat perjuangan dalam kalangan generasi baharu. Foto: AirTimes:N.Huda

Langkah ini, katanya, turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pasukan elit negara dan peranan mereka dalam menjaga keselamatan negara.

Terdahulu, seramai tiga pegawai dan 35 anggota telah berjaya membuktikan kelayakan mereka apabila menamatkan Kursus Asas Komando pada siri kali ini.

Seramai tiga pegawai dan 35 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya membuktikan kelayakan mereka apabila menamatkan Kursus Asas Komando pada siri kali ini. Foto: AirTimes

Kesemua penuntut telah dianugerahkan beret hijau dan pisau komando selepas menempuh pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal serta mental sejak 3 Februari lalu.

Upacara penganugerahan berkenaan disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.-airtimes.my

#AirTimes #Komando #GerakKhas #21GGK #PULPAK #KursusAsasKomando #Taiping #TenteraDarat

Related Articles

Leave a Reply