Dalam dunia peperangan moden yang semakin bergantung kepada teknologi, keupayaan memiliki senjata canggih menjadi satu lambang kekuatan ketenteraan sesebuah negara pada peringkat global.
Amerika Syarikat merupakan salah satu negara peneraju dalam pembangunan sistem senjata tanpa pemandu, dan antara senjata yang paling mencuri perhatian ialah Switchblade.
Switchblade yang dihasilkan oleh syarikat AeroVironment dari Amerika Syarikat, merupakan sebuah sistem dron taktikal moden yang menggabungkan kepintaran, mobiliti, dan kuasa letupan.
Senjata ini bukan sekadar sebuah dron biasa, melainkan loitering munition atau sejenis peluru berpandu ‘bunuh diri’ yang direka untuk berlegar di udara, mengenal pasti sasaran, dan menyerang dengan tepat.
Lebih mengagumkan, senjata ini cukup kecil untuk disimpan dalam beg galas dan boleh dikendalikan oleh seorang anggota tanpa memerlukan bantuan anggota yang lain.

Seorang anggota tentera AS melancarkan dron Switchblade dalam latihan medan petempuran. Foto: Aerovironment
Switchblade ini turut dilengkapi dengan sensor untuk mengesan pejuang musuh serta hulu ledak untuk menyerang dari atas berbanding dengan senjata-senjata yang lain.
Dron kecil dan senyap ini boleh dilancarkan terus dari tiub menggunakan udara termampat, sebelum meluncur ke sasaran dengan kelajuan sehingga 157 km/j dan meledak dengan ketepatan yang menggerunkan.
Senjata kecil, impak besar
Switchblade ini hadir dalam dua varian utama iaitu Switchblade 300 dan Switchblade 600 di mana masing-masing berperanan menepati keperluan taktikal berlainan.
Varian pertama iaitu Switchblade 300 direka untuk menyerang anggota musuh dan sasaran ringan, manakala Switchblade 600 mempunyai kuasa pemusnah cukup untuk menembusi kenderaan perisai dan kereta kebal.
Switchblade 300 dengan berat sekitar 2.5 kg dan jarak operasi sejauh 10 km ini mampu untuk berada di udara selama hampir 30 minit sebelum menyasarkan musuh dari arah menegak dengan kelajuan sehingga 160 km/j.
Tidak seperti peluru berpandu konvensional, Switchblade membolehkan pengendali untuk membatalkan misi di tengah penerbangan atau mengubah sasaran dalam masa nyata menggunakan sistem kawalan video dan GPS.
Ini menjadikannya antara sistem paling fleksibel dalam pertempuran dan operasi khas.
Switchblade 600, pemusnah kereta kebal bergerak

Switchblade 600 pemusnah tank musuh. Foto: Aerovironment
Diperkenalkan pada tahun 2020, Switchblade 600 membawa evolusi besar dalam konsep serangan berautonomi. Dengan berat sekitar 23 kg, senjata ini membawa hulu ledak anti-perisai setara dengan sistem Javelin dan mempunyai julat sejauh 40 km serta waktu terbang melebihi 40 minit.
Switchblade 600 boleh dilancarkan dari kedudukan jauh, dipandu secara real-time, dan menyerang sasaran seperti kereta kebal, kenderaan tempur berperisai (AFV), serta posisi pertahanan musuh dengan tahap kerosakan maksimum.
Senjata Masa Hadapan
Dengan keupayaan menggabungkan kecekapan ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance) dan serangan maut dalam satu pakej kecil.
Senjata yang dahulunya hanya dalam fiksyen kini sudah berada di tangan tentera sebenar. Dan dengan negara-negara lain mula mendapatkan sistem ini, jelas bahawa Switchblade bukan sahaja mencorakkan semula taktik ketenteraan tetapi juga menandakan era baharu dalam peperangan berasaskan sistem tanpa pemandu.-airtimes.my
#Airtimes #TeknologiDron #USArmy #AeroVironment