KUALA LUMPUR, 7 Mei 2025 – Langkah menutup sempadan Malaysia–Thailand sejak 1 Disember 2024 membuahkan hasil positif apabila statistik pencerobohan sempadan menunjukkan penurunan ketara, sekali gus membuktikan keberkesanan kawalan keselamatan yang dilaksanakan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sepanjang bulan Julai hingga November tahun lalu aktiviti pembolosan sempadan melibatkan seramai 57,722 orang.
“Namun, sebaik sahaja sempadan ditutup, ia menurun kepada 2,596 orang sahaja bermula Disember sehingga April lalu,
“Jumlah penurunan itu membabitkan sebanyak 55,126 orang dengan peratusan 95.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bagi kes penyalahgunaan dan penyeludupan dadah pula, pihak polis turut mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah tangkapan.
Ujarnya, sejak 2023 sehingga tahun ini, keseluruhan tangkapan seramai 60,409 individu.
Mohd Yusoff menjelaskan, seramai 18,254 individu ditahan pada 2023 sebelum meningkat secara drastik kepada 29,785 tahun lalu.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja (Januari–April 2025), seramai 12,370 individu telah ditangkap atas pelbagai kes yang melibatkan penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 134 pangkalan haram di kawasan sempadan negara yang didapati berisiko tinggi terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan di sekitar Rantau Panjang – Sungai Golok telah ditutup.
Menurutnya, penutupan pangkalan tersebut adalah bagi mengatasi ancaman keselamatan penyeludupan dadah, senjata api, pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk juga barangan dalam kawalan.
Tambahnya, pasukan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq telah dikerah untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.-airtimes.my
#keselamatan #airtimes #PDRM #sungaigolok #Kelantan