KUALA LUMPUR, 25 Mac – Sebanyak 134 pangkalan haram di kawasan sempadan negara yang didapati berisiko tinggi terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan di sekitar Rantau Panjang – Sungai Golok telah ditutup.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq dikerah untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Di kawasan sempadan negara ini terdapat 134 pengkalan haram. Itu semua sudah kita tutup dan kita letakkan pasukan Senoi Praaq dari Perak kita aturgerak untuk meningkatkan kawalan keselamatan,
“Ini penting sebab laluan Sungai Golok ini kerana dekat dengan sempadan Thailand. Disini berlaku pelbagai bentuk ancaman keselamatan penyeludupan dadah, senjata api, pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk juga barangan kawalan,
“Sekarang ini kita sudah menutup pengkalan haram tersebut selepas Mesyuarat Jawatan Kuasa Keselamatan Sempadan dengan pelbagai agensi termasuk kerajaan Kelantan, baru-baru ini,” katanya selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan bahawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan Ops Pagar Laut, yang bertujuan memastikan pemantauan berterusan di perairan negara bagi mencegah penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, serta jenayah maritim lain.
Selain itu, kawalan di laluan pantai dan batu nautika turut diperkukuh melalui kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), pihak berkuasa negeri dan Kerajaan Kelantan, bagi memastikan keselamatan di perairan negara, termasuk pada musim perayaan.
Tegasnya, kawalan sempadan negara satu aspek penting keselamatan, dimana kerajaaan mengambil pendekatan ‘omnipresence’ iaitu memastikan kehadiran anggota di lokasi strategik seperti di pintu masuk utama di Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Kalimantan.
Langkah-langkah ini, katanya, membuktikan kesiapsiagaan tertinggi pasukan keselamatan dalam menangani ancaman di sempadan negara.-airtimes.my
#keselamatan #KND #PDRM #Malaysia #sempadan #thailand