if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Diskusi Kizilelma: Kemandirian Turkiye meneroka kuasa moden di udara

Kizilelma: Kemandirian Turkiye meneroka kuasa moden di udara

by Aqilah Azman

Tatkala dunia masih menyesuaikan langkah dalam revolusi teknologi pesawat udara tanpa pemandu, Turkiye juga seiring berkembang dalam industri pertahanan, melangkah setapak ke hadapan dengan memperkenalkan dron Bayraktar Kizilelma. Umum mengetahui syarikat Baykar antara peneraju eksport dalam membangkitkan pertahanan Turkiye di peringkat global dengan menghasilkan dron dan sistem persenjataan berteknologi moden termasuk dron Kizilelma.

Kizilelma bukan sekadar dron senjata udara pintar yang bakal mengubah landskap peperangan moden dan kedudukannya di pentas global, namun simbol kebangkitan kuasa udara Turkiye yang bebas, berani dan berdikari. Ia menjadi satu lambang harapan Turkiye menjadi pelopor dalam era peperangan autonomi dan satu manifestasi cita-cita Turkiye untuk berdiri sebagai kuasa teknologi udara di masa depan.

Susulan, pesawat pejuang tanpa pemandu (UAV) kebangsaan pertama di Turkiye ini, dihasilkan dari pengalaman dan pengetahuan daripada pembangunan AKINCI pada tahun 2021 dan namanya diambil berasal dari zaman silam tamadun purba yang membawa makna ‘sebagai satu sasaran atau impian yang sentiasa dikejar dan mendorong ke hadapan’.

“Kizilelma sebenarnya adalah sasaran yang pergi lebih jauh dan sentiasa dikejar apabila anda mencapainya. Ia akan sentiasa membawa kita ke hadapan dan ke masa hadapan,” ujar Selçuk dalam satu kenyataan.

Dron Kizilelma yang terbang membawa nama bangsa dan visi Turkiye dan tidak lagi bergantung pada kuasa luar ini, menggunakan enjin jet tunggal Ivchenko-Progress yang dibangunkan oleh Ukraine, selain mempunyai kelajuan supersonik yang mampu berlepas dan mendarat daripada kapal pengangkut pesawat.

Terdahulu, pada tahun 2022 pesawat ini telah melaksanakan penerbangan sulungnya, sekali gus mencipta sejarah sebagai pesawat tempur nasional pertama Türkiye yang mampu berlepas dan mendarat dari kapal pengangkut pesawat. Ia juga merupakan sebahagian projek Sistem Pesawat Tempur Tanpa Pemandu Baykar (MIUS) yang diumumkan oleh Pemimpin Teknologi Baykar, Selcuk Bayraktar.

Dengan memiliki kelajuan maksimum sehingga 0.09 Mach (1,100 kilometer sejam), membolehkannya mencapai sasaran dengan cepat dan mengelak pertahanan musuh dengan tangkas. Di samping, mempunyai berat 6 tan bagi keseluruhan yang mampu membawa pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu udara ke darat dan peluru berpandu udara ke udara, serta sensor seberat 1.5 tan, dengan sebahagiannya disimpan di dalam internal weapon bays bagi memelihara karakteristik halimunannya.

Jika dibandingkan dengan dron sebelum ini seperti Bayraktar TB2 dan AKINCI, kehadiran Kizilelma bukan sahaja dilengkapi dengan Artificial Intelligence (AI) yang canggih dan direka untuk operasi Intelligence, Surveillance, Reconaissance (ISR) sahaja, malah ia berkeupayaan menjalankan misi udara-ke-udara, serta bertindak sebagai sayap udara barisan hadapan dan menjadi pelengkap penting dalam struktur operasi udara Turkiye.

Walaupun beberapa negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) telah memulakan pembangunan UCAV berasaskan enjin jet, sehingga kini mereka masih belum memiliki dron tempur operasional dengan spesifikasi yang setanding Kizilelma. Hal ini, menjadikan Türkiye antara peneraju awal dalam memperkenalkan pesawat tempur tanpa pemandu berkemampuan tinggi di medan peperangan moden.

Justeru, dengan kecerdasan buatan yang canggih dan kebolehan manuver agresif, Kizilelma menjadi tulang belakang baharu pasukan keselamatan Türkiye untuk pada era akan datang. Malah, berpotensi mengambil alih peranan pesawat F-16 buatan Amerika Syarikat dan menimbulkan ancaman besar dalam misi tempur musuh masa hadapan.

Dalam era peperangan moden yang berasaskan sistem autonomi, kehadiran Kizilelma bukan sekadar pesawat, namun menandakan anjakan besar ke hadapan buat Türkiye, bahkan menjadikan ruang udara bukan lagi milik mutlak kuasa besar, tetapi medan tempur baharu untuk mereka yang berani berinovasi.

Hal ini secara tidak langsung, Kizilelma dron tempur generasi baharu merupakan simbol kemajuan yang mencerminkan cita-cita besar Türkiye dalam membentuk masa hadapan bagi operasi udara. Selain itu, menonjolkan kemandirian serta keberanian Turkiye dalam meneroka batas baharu teknologi ketenteraan. -airtimes.my

#AirTimes #Kizilelma #Bayraktar #Baykar #UAV #Turkiye

Related Articles

Leave a Reply