if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa ATM tubuh Markas Siber dan Elektromagnetik: Tangani ancaman bukan konvensional

ATM tubuh Markas Siber dan Elektromagnetik: Tangani ancaman bukan konvensional

by Suraya Aziz

PORT DICKSON, 30 APRIL – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan Markas Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik (MPSE) sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pertahanan negara dalam domain bukan kinetik yang kian mencabar.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif utama di bawah teras kesiapsiagaan operasi.

“Melangkaui dimensi tradisional darat, laut dan udara, kesiagaan ATM kini perlu diperluaskan kepada domain keempat iaitu siber dan elektromagnetik. Ini seiring dengan kemunculan bentuk ancaman bukan kinetik yang bersifat disruptif serta sukar dikesan,

“Bagi memperkukuhkan pertahanan dalam domain ini, ATM akan menubuhkan markas pemerintahan siber dan elektromagnetik (MPSE) sebagai satu inisiatif strategik,

“Saya menyeru agar semua panglima perkhidmatan memberikan komitmen padu dalam merealisasikan pembangunan MPSE sebagai sebahagian daripada struktur pertahanan negara yang lebih menyeluruh,” katanya semasa menyampaikan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-23 di Auditorium Kem Segenting, pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM akan menjalankan kajian berhubung penubuhan unit siber dalam pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH).

Menurutnya, pasukan siber yang dicadangkan itu akan menangani cabaran keselamatan siber termasuk pertahanan siber dan operasi serangan, antara aspek lain.

“Pembangunan angkatan siber itu adalah salah satu usaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam usaha memenuhi keperluan pertahanan negara menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Panglima Angkatan Tentera berkata, pembangunan MPSE bukan sahaja elemen penting dalam membentuk AMH ATM, malah satu konsep pertahanan generasi baharu yang menekankan kecekapan, kebolehsuaian dan dominasi dalam pelbagai domain operasi.

“AMH bukan sekadar menambah keupayaan tempur, tetapi mentransformasi pendekatan peperangan secara menyeluruh. Ia merangkumi integrasi kecerdasan buatan (AI), sistem tanpa pemandu, data raya dan pertahanan berasaskan rangkaian,” tambahnya.

Jelas beliau, elemen siber dan elektromagnetik akan menjadi komponen utama dalam operasi masa hadapan, sekali gus memerlukan perubahan struktur, doktrin serta latihan secara holistik merentas ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara.

Penubuhan MPSE ini dijangka mempertingkat keupayaan ATM dalam aspek peperangan maklumat, perlindungan infrastruktur kritikal negara serta pengumpulan risikan strategik yang lebih pantas dan tepat dalam era digital.

“ATM juga merancang untuk melibatkan industri pertahanan tempatan serta memperkasa bakat muda negara dalam pembangunan MPSE, selaras dengan aspirasi pemerkasaan ekosistem pertahanan nasional yang berdikari,” ujarnya lagi.

Perbarisan Perintah Ulung itu turut menyaksikan amanat rasmi pertama beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-23, menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara pada 11 Mac lalu. -airtimes.my

#Airtimes #Malaysia #ATM #Siber #PAT

Related Articles

Leave a Reply