KUALA LUMPUR, 30 Apr – Prosiding seterusnya berhubung kes tuntutan kumpulan Sulu dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan Paris pada 7 Julai depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbicaraan itu akan menyaksikan badan kehakiman Perancis meneliti kesahihan anugerah timbang tara yang dikenakan terhadap Malaysia serta pelbagai aspek perundangan berkaitan.
“Malaysia akan terus melaksanakan semua usaha, hak dan sumber yang ada untuk melindungi kedaulatan kekebalan dan kepentingan Malaysia serta memuktamadkan kes penipuan kumpulan Sulu yang tidak berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina menjelaskan bahawa beberapa kemenangan penting yang diraih Malaysia sejak kebelakangan ini telah mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam menangkis tuntutan tidak berasas itu.
Antara kejayaan tersebut termasuklah keputusan Mahkamah Perancis yang membatalkan pengiktirafan awal anugerah timbang tara, penolakan Mahkamah Agung Belanda terhadap anugerah akhir, serta sabitan jenayah ke atas penimbang tara Gonzalo Stampa oleh Mahkamah Rayuan kerana menghina mahkamah.
Beliau turut menegaskan bahawa kes ini merupakan cabaran besar kepada kekebalan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, memandangkan ia melibatkan penggunaan pembiayaan pihak ketiga bagi meneruskan tuntutan yang disifatkan sebagai licik dan berniat jahat.
Sempena lawatan kerja ke Eropah, Azalina turut mengadakan pertemuan dengan pasukan perundangan Malaysia di Paris bagi menyusun strategi dan mendapatkan kemas kini berkaitan kes tersebut.
Sebelum ini, lapan warga Filipina mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.
Pada 28 Feb 2022, Stampa telah membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir sebanyak US$14.9 bilion hasil daripada timbang tara tidak sah meskipun pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol.
Pada Februari 2022, Gonzalo Stampa yang telah dilantik secara tidak sah sebagai penimbang tara mengeluarkan Award Akhir berjumlah AS$14.9 bilion yang memihak kepada kumpulan itu, walaupun pelantikannya telah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol.
Namun, Malaysia memperoleh kemenangan penting pada November lalu apabila Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya tuntutan kumpulan tersebut, sekaligus menjadikan anugerah timbang tara itu tidak sah di sisi undang-undang negara tersebut.-airtimes.my
#Malaysia #tuntutanSulu #Paris #mahkamahrayuan #airtimes