KUALA LUMPUR, 18 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan kajian berhubung penubuhan unit siber dalam pembangunan Angkatan Masa Hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah mengarahkan ATM menjalankan kajian terperinci merangkumi kajian kebolehlaksanaan dan kemampanan.
Menurutnya, pasukan siber yang dicadangkan itu akan menangani cabaran keselamatan siber termasuk pertahanan siber dan operasi serangan, antara aspek lain.
“Kita mesti menilai keupayaan, strategi, dan kesiapsiagaan semasa untuk menghadapi pelbagai ancaman siber,security, cyber defence, cyber offensive dan aspek yang berkaitan dengannya, sekali gus memastikan yang keupayaan kita berada pada tahap yang baik.
“Hasil kajian ini akan dibentangkan kepada kerajaan untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya dalam Amanat Tahun Baharu Kementerian Pertahanan (MINDEF), baru-baru ini.
Pembangunan angkatan siber itu adalah salah satu usaha MINDEF dalam usaha memenuhi keperluan pertahanan negara menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Mengulas lanjut, beliau berkata bergantung kepada kajian kebolehlaksanaan itu, RMK13 mesti dijadikan platform untuk menyokong penubuhan pasukan siber yang komprehensif.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan membentangkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih kepada kerajaan pada suku pertama tahun ini setelah ia selesai disiapkan oleh kementeriannya.-airtimes.my
#ATM #Siber #Mindef #pertahanan #airtimes