PUTRAJAYA, 22 APRIL – Tempoh bebas visa selama 90 hari kepada pelancong dari China akan diteruskan selama lima tahun, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ujar beliau, keputusan itu dibuat susulan kejayaan pelaksanaan awal Program Liberalisasi Visa yang dilancarkan pada 2023 terhadap sektor pelancongan dan ekonomi negara.
“Program ini bermula sebagai tempoh percubaan selama setahun. Kita panjangkan tempoh keberadaan pelancong China di Malaysia dari 30 hari kepada 90 hari tanpa memerlukan visa. Lebih daripada itu, ada keperluannya (visa),
“Dan China juga kita minta timbal balas (reciprocal), namun China pada masa itu bagi kita tempoh yang pendek selama 15 hari,
“Dalam tempoh itu, apa yang kita perhatikan, impak kemasukan pelancong daripada China itu meningkat” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa.
Menurut Saifuddin, dasar baharu ini dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Republik Rakyat China semasa lawatan rasmi Presiden Xi Jinping baru-baru ini.
Malah, ia merupakan salah satu daripada 31 perjanjian dua hala yang berjaya ditandatangani.
Tegasnya, pelancong dari China kini dibenarkan tinggal di Malaysia sehingga 90 hari tanpa visa, manakala kerajaan China turut memberikan timbal balas yang sama kepada pelawat dari Malaysia.
“KDN yang mengawal persoalan visa ini diminta untuk meneruskan lagi rundingan dengan negara China. Pada ketika kunjungan Presiden Xi, satu daripada 31 MoU yang telah kita tandatangani adalah berkaitan visa yang baru ini,
“Kita lanjutkan untuk 5 tahun ke depan, dan sejurus tamat 5 tahun, opsyen adalah kita sambung lagi 5 tahun, iaitu tempoh 90 hari keberadaan rakyat mereka di negara kita sebagai pelancong. Dan mereka pun reciprocate, timbal balas yang sama juga kepada kita,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan, sepanjang tempoh percubaan, pelancong dari China mencatat jumlah tertinggi dalam ketibaan antarabangsa.
“Setakat April 2025, hampir 900,000 rakyat China direkodkan memasuki negara ini, berbanding lebih 4 juta sepanjang tahun 2024,” ujarnya lagi.
Malah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menganggarkan setiap pelancong dari China membelanjakan purata RM7 ribu sepanjang kunjungan mereka.
Ini bermakna, dalam tempoh empat bulan pertama 2025 sahaja, Malaysia telah menerima lebih RM6.3 bilion sumbangan ekonomi daripada pelancong China.
Sekiranya trend ini berterusan, jumlah keseluruhan sumbangan pelancongan dari China dijangka mencecah RM28 bilion menjelang akhir tahun ini.
Oleh yang demikian, beliau menjamin pihaknya akan terus memantau pengurusan urusan visa pelancong, memandangkan ianya di bawah tanggungjawab KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Setakat ini, China kekal sebagai pasaran pelancong asing utama ke Malaysia, diikuti India. Manakala, bagi rantau ASEAN pula, Singapura mendahului dengan jumlah pelawat tertinggi, disusuli oleh Thailand. -airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #China #Visa #pelancong