if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Kolumnis: Isu Jalur Gemilang – jangan jolok sarang tebuan

Kolumnis: Isu Jalur Gemilang – jangan jolok sarang tebuan

by Zaki Salleh

Bermula semalam, pemakaian lencana kecil Jalur Gemilang diwajibkan kepada semua murid-murid sekolah dan pelajar institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Langkah tersebut bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.

Mungkin berlaku secara kebetulan, inisiatif ini hadir di tengah-tengah kehangatan isu kedangkalan pihak tidak bertanggungjawab yang tidak peka pada kedudukan Jalur Gemilang.

Jadi, inisiatif ini dilihat sebagai usaha KPM untuk memperkukuh rasa cinta terhadap negara dalam kalangan generasi muda.

Namun, isu tentang kebodohan sekelumit rakyat tentang kedudukan Jalur Gemilang tidak akan padam pada ingatan mereka yang cintakan negara.

Jalur Gemilang merupakan lambang rasmi kedaulatan dan perpaduan rakyat Malaysia.

Ia bukan sekadar sehelai kain berwarna merah, putih, biru dan kuning, tetapi membawa semangat patriotisme dan jati diri sebagai warganegara.

Sedang dirasa ialah kedangkalan dilakukan editorial akhbar berbahasa Cina tempatan apabila memaparkan grafik Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit.

Sin Chew Daily melalui kenyataan memaklumkan, dua pengarang kanannya iaitu Ketua Pengarang, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting, Tsai Shwu San digantung tugas berkuat kuasa serta-merta susulan isu itu.

Akhbar itu memohon maaf atas kesalahan sambil menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi terbabit disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam respon beliau, katanya, kesilapan ilustrasi bendera bukan kesalahan ringan.

Ini kerana bendera adalah simbol penting kepada mana-mana negara.

“Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting.

“Jadi saya nasihatkan supaya kita berhati-hati, tapi tentulah bagi ruang Sin Chew Daily bagi penjelasan atas kesilapan dan memohon maaf.

“Tetapi ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan),” katanya dalam satu sidang akhbar.

Mendengar pendirian pemimpin no 1 negara ini, respons beliau sarat dengan maksud.

Sebenarnya, kemarahan dan rasa muak rakyat keseluruhannya terhadap insiden ini mudah difahami disebabkan kesalahan sama sering kali berulang.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu bendera negara dipasang secara terbalik telah mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Kes-kes tular ini merentap sensitiviti rakyat.

Beberapa insiden mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik, sama ada dalam bentuk fizikal atau grafik digital, telah menimbulkan keresahan rakyat.

Malah, ada juga tindakan yang dibuat bersifat politik iaitu sebagai protes kepada pemerintah.

Pasti ramai yang masih ingat foto sekumpulan dipercayai pelajar sebuah kolej swasta memegang cetakan kertas Jalur Gemilang terbalik sebagai tanda protes. Insiden berlaku pada tahun 2010 atau 2011 jika tidak silap.

Selain itu, terdapat kes melibatkan individu di media sosial yang memuat naik gambar Jalur Gemilang terbalik, disyaki mempunyai unsur penghinaan atau sindiran terhadap kerajaan.

Kes-kes seperti ini boleh disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika wujud unsur menghasut atau niat jahat.

Bermula seawal tahun 2012, Dewan Rakyat telah membincangkan isu penurunan bendera kebangsaan dan implikasinya terhadap perpaduan masyarakat.

Pada tahun berikutnya, Dewan Negara pula menegaskan betapa cubaan menukar Jalur Gemilang adalah satu tindakan jahat yang cuba mencetuskan ketidakstabilan dalam negara.

Situasi menjadi lebih membimbangkan apabila tindakan menggantung bendera secara terbalik mula menjadi fenomena berulang sama ada secara sengaja atau dikatakan tidak tahu.

Dewan Negara pada 16 Disember 2019 pula membincangkan insiden bendera yang dicetak secara salah—bintang berbucu lima menggantikan bintang berbucu 14 yang melambangkan kesatuan 13 negeri dan kerajaan persekutuan.

Kesalahan ini bukan sahaja memalukan, malah dianggap mengkhianati sejarah negara dan makna di sebalik setiap unsur pada Jalur Gemilang.

Tahun 2020 memperlihatkan perkara sama masih berulang.

Pada 2 dan 9 September, ahli-ahli Dewan Negara secara lantang menyuarakan rasa kecewa dan marah terhadap individu yang menggantung Jalur Gemilang secara terbalik serta mempermainkan jata negara.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai mencemarkan maruah negara dan menyeru agar pendidikan patriotisme diperkukuhkan sejak peringkat sekolah.

Jalur Gemilang adalah cerminan identiti nasional dan lambang kesatuan seluruh rakyat Malaysia. Semoga ada noktah pada kedangkalan ini.

Ini adalah isu negara dan tidak ada kaitan dengan bangsa atau kaum. Jika tidak mahu membakar sensitiviti rakyat, maka janganlah sesekali menjolok sarang tebuan.-airtimes.my

#Malaysia #GalurGemilang #bendera #airtimes #semasa

 

Related Articles

Leave a Reply