KUALA LUMPUR, 21 Apr – Hospital Medan Malaysia (HMM) yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), secara rasmi memulakan operasinya hari ini di Sagaing, Myanmar iaitu kawasan paling terkesan akibat bencana gempa bumi yang melanda negara itu.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, hospital yang dilaksanakan ATM menerusi Operasi Bantuan Kemanusiaan (Op STARLIGHT III) mula beroperasi pada jam 8.20 pagi waktu tempatan (9.50 pagi waktu Malaysia) sebagai hospital Tahap Dua yang dilengkapi 20 buah katil serta kemudahan kritikal termasuk wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, radiologi dan makmal.
Hospital medan itu juga turut menyediakan dua kepakaran utama iaitu pembedahan am dan ortopedik serta mampu melaksanakan dua prosedur pembedahan serentak pada satu masa.
Selain itu, HMM juga menawarkan perkhidmatan klinik pesakit luar yang dijangka menerima 80 hingga 100 pesakit setiap hari dengan sokongan tiga pegawai perubatan dari Hospital Sagaing.
Ketua Menteri Wilayah Sagaing dan Panglima Biro Operasi Khas Wilayah Yangon turut hadir semasa pembukaan operasi.
Dua hari sebelum itu, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar turut meninjau persiapan HMM sebagai tanda sokongan.
Menurut Markas ATM, sejak dibuka, HMM menerima aliran pesakit tanpa henti, termasuk rujukan daripada Hospital Sagaing.
Malah, pembedahan pertama telah berjaya dilaksanakan seawal jam 10.30 pagi waktu Myanmar (12.00 tengah hari waktu Malaysia), membuktikan kesiapsiagaan pasukan perubatan ATM dalam menangani krisis kesihatan pasca bencana.
Penduduk tempatan turut menyatakan penghargaan terhadap usaha ATM dan Kerajaan Malaysia, menyifatkan kehadiran HMM sebagai sinar harapan dalam saat genting yang melanda komuniti mereka.
Terdahulu, pasukan Op STRALIGHT III telah berlepas berlepas pada Jumaat lalu dari Pangkalan Udara Subang menggunakan dua pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan masing-masing berlepas pada 4.45 pagi dan 5.15 pagi.
Kedua-dua pesawat ini telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay, Myanmar pada 7.30 pagi dan 8.00 pagi hari ini, waktu Malaysia.-airtimes.my
#pertahanan #hospitalmedanMalaysia #OpStralight #Malaysia #Myanmar #airtimes