JWAYYA, 21 Apr – Usaha memperkukuh hubungan antara pasukan pengaman dan komuniti tempatan diteruskan menerusi penganjuran Program Medical Day anjuran bersama Malaysian Battalion (MALBATT) serta Ghana Battalion (GHANBATT) di Jwayya Culture Centre baru-baru ini.
Pihak MALBATT 850-12 menjelaskan, program yang berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 April itu menyaksikan seramai 263 orang penduduk tempatan menerima rawatan perubatan dan pergigian secara percuma, sebagai sebahagian daripada inisiatif Civil-Military Cooperation (CIMIC) di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Menurunya, inisiatif ini bertujuan bukan sahaja untuk menyampaikan perkhidmatan kesihatan berkualiti, malah sebagai platform interaksi sosial antara anggota pengaman dan penduduk setempat.
“Sambutan yang sangat baik daripada masyarakat membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu ini dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti, di samping memperkukuh kepercayaan terhadap kehadiran pasukan pengaman,” jelas kenyataan itu.
Program tersebut turut diserikan dengan aktiviti mewarna khas untuk kanak-kanak, mencerminkan pendekatan menyeluruh yang menekankan nilai kemanusiaan dan pendidikan tidak formal bagi semua peringkat usia.
Dalam acara berasingan, Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh, turut mengadakan sesi Key Leader Engagement (KLE) bersama Mayor Jwayya, Mr. Neman Hashem di Bangunan Perbandaran Jwayya.
Pertemuan tersebut membincangkan pelbagai usaha memperkukuh kerjasama dua hala dan merancang program manfaat bersama untuk komuniti tempatan.
Mr. Neman Hashem turut merakamkan penghargaan kepada MALBATT atas pelaksanaan Medical Day, yang disifatkan sangat membantu penduduk dalam mendapatkan rawatan percuma yang mereka perlukan.
Sebagai simbol komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat, Kolonel Johan Effendi turut menyampaikan sumbangan 20 kotak makanan asas untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan di kawasan tersebut.-airtimes.my
#pertahanan #MALBATT #GHANBATT #UNIFIL #airtimes #Malaysia #airtimes